Isnin, 18 Februari 2019 | 7:19pm
PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua dari kanan) berucap pada program Dialog Pengetua-Pengetua Koperasi Sekolah Selangor 2019 (Pengurusan Kewangan dan Pembangunan Perniagaan) di Klang, petang tadi. - Foto Faiz Anuar

6 koperasi sekolah Selangor masing-masing mampu peroleh RM1 juta

KLANG: Enam koperasi sekolah menengah di Selangor dikenal pasti masing-masing berpotensi mencapai perolehan pendapatan lebih RM1 juta tahun ini.

Ia termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari Berhad, SMK Seri Puteri Berhad, SMK Bandar Baru Sungai Long, SMK Taman Jasmin 2 Berhad, SMK Jalan Tiga Berhad dan Sekolah Sultan Alam Shah Berhad.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata statistik pihaknya menunjukkan semua sekolah itu berjaya mencatat nilai perolehan melebihi RM500,000 setahun.

“Koperasi SMK Subang Bestari Berhad memperoleh pendapatan tertinggi iaitu sebanyak RM802,418 diikuti SMK Seri Puteri Berhad (RM701,358), dan SMK Bandar Baru Sungai Long (RM698,479).

“Tiga lagi koperasi iaitu Koperasi SMK Taman Jasmin 2 Berhad (RM650,794), SMK Jalan Tiga Berhad (RM515,617) dan Koperasi Sekolah Sultan Alam Shah Berhad (RM515,490). Semua sekolah ini merangkumi keseluruhan 2,406 koperasi sekolah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Dialog Pengetua-Pengetua Koperasi Sekolah Selangor 2019 (Pengurusan Kewangan dan Pembangunan Perniagaan) di sini, petang tadi.

Hadir sama, Naib Presiden ANGKSA, Mohamad Azmi Omaruddin; Pengerusi ANGKASA Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Sazali Baharudin.

Abdul Fattah berkata sehingga kini terdapat sebanyak 276 koperasi sekolah di negeri ini, membabitkan keahlian seramai 268,204 orang.

“Aset bagi semua koperasi ini berjumlah RM42.8 juta dan menyumbang perolehan pendapatan sebanyak RM41.6 juta,” katanya.

Sementara itu, kata Abdul Fattah, pihaknya menyasarkan sebanyak 50 koperasi sekolah berpotensi menjana pendapatan lebih RM1 juta tahun depan.

“Saya menasihatkan semua koperasi sekolah supaya mempelbagaikan jenis perniagaan seperti bidang peruncitan dan kantin sekolah, tanpa hanya tertumpu kepada pembekalan peralatan sekolah semata-mata,” katanya.

369 dibaca
Berita Harian X