Rabu, 13 Februari 2019 | 1:47pm
POSTER Joy Colour Run 2019.

SMKSAS anjur Joy Colour Run 2019 sambil beramal

PETALING JAYA: Bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad (SMKSAS), di sini, akan menganjurkan program larian Joy Colour Run 2019 pada 9 Mac ini.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM) itu terbuka kepada individu normal dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Pengurus Joy Colour Run 2019, Basiran Yusof, berkata acara bertemakan Prihatin, Berkongsi dan Menyayangi itu adalah platform kepada PIBG SMKSAS untuk mencari dana bagi mengisi tabung persatuan, sekali gus membantu melancarkan penganjuran aktiviti dan meningkatkan prasarana sekolah.

“Matlamat acara ini adalah sebagai jambatan penghubung dan mewujudkan kerjasama strategik antara ibu bapa, sekolah, komuniti, institusi pengajian tinggi (IPT), sektor awam serta agensi swasta.

“Acara yang dijangka membabitkan kira-kira 2,000 penyertaan itu juga menawarkan ruang dan peluang kepada golongan OKU untuk menjalani gaya hidup sihat dan bersosial secara positif bersama masyarakat,” katanya.


BASIRAN Yusof.

Program dianjurkan bermula jam 6.30 pagi hingga 11.30 pagi di UM itu bakal dirasmikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Tarikh tutup penyertaan larian pada 28 Februari ini.

Selain itu, Basiran berkata, peserta bukan sahaja akan menerima baju-t penyertaan, tetapi berpeluang membawa pulang medal, sijil penyertaan, wang tunai, trofi dan baucar, selain berpotensi memenangi hadiah cabutan bertuah.

Beliau berkata, pihak penganjur juga mengalu-alukan penajaan daripada individu atau syarikat sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan.

“Penajaan ini dapat menambahkan kelancaran dan kemeriahan acara. Kami juga akan membantu mempromosikan pihak penaja melalui baucar, sepanduk dan risalah,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Basiran di talian 012-6664711 atau Rema Ragavan Krishnan di talian 012-2092710.

Info

Kategori Jarak Harga

Pendaftaran Awal (800 peserta) 5 KM RM45 seorang

Normal 5 KM RM50 seorang

Berlari Bersama OKU 2 KM RM100 (pengiring dan OKU)

Pakej Keluarga 5 KM RM180 (empat orang)

122 dibaca
Berita Harian X