Jumaat, 8 Februari 2019 | 2:34pm
KETUA Delegasi Malaysia ke pameran itu, Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah bergambar bersama penyelidik muda dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Rawang yang berjaya meraih Anugerah Rekacipta Muda IPITEX 2019 bagi kategori Inovasi Terbaik pada Pameran Inovasi, Harta Intelek dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, baru-baru ini. - Foto ihsan UniMAP

Penyelidik muda Malaysia cemerlang di Thailand

KANGAR: Seramai 250 penyelidik muda mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya memenangi pelbagai pingat pada Pameran Inovasi, Harta Intelek, dan Teknologi Antarabangsa (IPITEX 2019) yang berlangsung di Bangkok baru-baru ini.

Ketua Delegasi Malaysia ke pameran itu, Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, berkata kumpulan penyelidik muda itu terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah dari 27 sekolah berjaya membawa pulang 14 pingat emas, 24 perak dan 30 gangsa.

Katanya, dalam pameran berlangsung mulai 2 hingga 6 Februari itu, kontinjen Malaysia menerima saingan sengit dari peserta negara lain seperti Kanada, Jepun, Korea Selatan, China dan India.

“Antara paling membanggakan ialah inovasi ‘Ice Cage’ yang dihasilkan Muhammad Amir Mohamad Ghazaly, Muhammad Arif Mohamad Ghazaly, Nur Auni Afiqah Mohd Johari dan Nur Ain Nasirah Zamri dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Intergrasi Rawang, Selangor.

“Mereka berjaya menghasilkan ais minuman dalam bentuk rod yang berisi larutan tepu membolehkannya diguna berulang kali dan tidak akan habis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Mustafa berkata, hasil ciptaan empat penyelidik muda terbabit berjaya meraih Anugerah Rekacipta Muda IPITEX 2019 bagi kategori reka cipta dan inovasi terbaik dalam industri.

“Jika pengguna ingin menggunakan Ice Cage, mereka hanya perlu meletakkannya di dalam peti sejuk sehingga larutan di dalamnya beku.

“Kemudian ia diletak ke dalam air minuman untuk disejukkan dan sekiranya larutan di dalam Ice Cage mencair, pengguna boleh meletakkannya kembali ke dalam peti sejuk tanpa memerlukan larutan baharu kerana ia kekal di dalam rod,” katanya.

Sebanyak 27 sekolah yang mewakili negara pada pameran itu turut mendapat penyeliaan dan nasihat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS).

467 dibaca
Berita Harian X