Ahad, 3 Februari 2019 | 7:20pm
PROFESOR Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

Hassan Basri dilantik Naib Canselor UniSZA

KUALA NERUS: Bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, dilantik Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baharu, berkuat kuasa 1 Februari lepas.

Pusat Komunikasi Korporat UniSZA, dalam kenyataan hari ini, berkata pelantikan Hassan Basri bagi menggantikan Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latif yang tamat perkhidmatan pada 31 Januari lepas.

“Pelantikan Hassan Basri sebagai Naib Canselor keempat universiti berkenaan adalah bagi tempoh tiga tahun,” menurut kenyataan itu.

Hassan Basri yang berasal dari Temerloh, Pahang mempunyai latar belakang pendidikan dalam Bahasa Arab dan berkelulusan Sarjana Muda (kepujian) Universiti Kuwait (1987); Sarjana (Kesusasteraan) Universiti St Andrews, Scotland (1992); dan mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, Scotland (2000).

Pada awal kerjayanya, beliau pernah bertugas sebagai penterjemah kedutaan Malaysia di Kuwait dan pembantu penyelidik Kuwait Zakat House dan pensyarah di Universiti Malaya (1987-2011) sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia, Cairo University Mesir (2007-2001).

Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai profesor di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Berkongsi visi dan misinya bersama UniSZA, Hassan Basri ketika ditemui pemberita berkata UniSZA akan menjalin kerjasama dengan rakan strategiknya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan USIM, tempat beliau bertugas sebelum ini.

UniSZA juga akan menjalin kerjasama dengan beberapa universiti luar seperti​​​ dari Jepun, Korea Selatan dan China serta universiti di Eropah, Amerika Syarikat serta negara Timur Tengah seperti di Maghribi dan Algeria bagi melonjakkan program pengantarabangsaan UniSZA dalam masa terdekat.

Bagi meningkatkan lagi peranan UniSZA di peringkat antarabangsa, universiti itu akan memfokuskan kepada kajian manuskrip dengan meningkatkan usaha mendigitalkan manuskrip yang masih dalam bentuk tradisi dan sukar diakses. – BERNAMA

640 dibaca
Berita Harian X