Jumaat, 25 Januari 2019 | 4:33pm
PRESIDEN MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (tengah) menyampaikan kaca mata kepada Nurul Qarina Abdullah pada hari pertama operasi MSUMC, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

MSUMC mula beroperasi hari ini

SHAH ALAM: Management and Science University Medical Centre (MSUMC) yang bakal menjadi antara mercu tanda baharu untuk bandar raya Shah Alam, memulakan operasinya hari ini.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata pusat perubatan komprehensif yang juga projek terakhir bagi pembangunan universiti itu mampu menampung seramai 250 pesakit pada satu masa.

Katanya, MSUMC yang menawarkan kemudahan serba canggih dan moden memfokuskan empat tumpuan utama iaitu pesakit dalam dan luar negara, korporat serta pelajar.

“Pusat perubatan ini menyediakan antaranya enam bilik pembedahan, lima bilik ICU (Unit Rawatan Rapi), enam bilik bersalin, kemudahan perkhidmatan rawatan mata dan pergigian serta klinik pakar.


Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

“MSU berharap mampu menyediakan sistem penjagaan kesihatan yang lengkap di negara ini serta menjadi penyedia kesihatan global pada masa akan datang,” katanya pada sidang media bersempena pemulaan hari pertama operasi MSUMC, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif MSUMC, Datuk Nasharuddin Shukor dan Pengarah Kesihatan MSUMC, Datuk Dr Lailanor Ibrahim.

Pada majlis itu, Prof Mohd Shukri turut menyampaikan cermin mata percuma kepada anak yatim dan Orang Asli.

Semua mereka terdiri daripada penghuni Rumah Kasih Harmoni, Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Rumah Siraman Kasih dan Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, selain komuniti Orang Asli Rasau Hilir serta Kampung Orang Asli Desa Temuan, Bukit Lanjan, Selangor.


SEBAHAGIAN Orang Asli yang datang membuat pemeriksaan percuma pada hari pertama operasi MSUMC, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Mengulas lanjut, Prof Mohd Shukri berkata, pusat perubatan itu cukup istimewa kerana turut menyediakan perubatan tradisional Cina dan bersedia menawarkan semua 24 kepakaran diperlukan.

Kemudahan disediakan merangkumi perubatan dalaman, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik, oftalmologi, psikiatri, urologi, endoskopi, selain khidmat rawatan perubatan tradisional serta pelengkap (TCM).

Menerusi tagline Caring, Healing, Educating, MSUMC menyediakan kemudahan perubatan terkini dan serba lengkap kepada pembabitan universiti itu dalam bidang perubatan khususnya serta bidang pendidikan tinggi negara amnya.

Pusat perubatan itu turut berperanan sebagai hospital pengajar terutama kepada pelajar Sekolah Perubatan Antarabangsa (IMS) bagi tujuan kemudahan latihan klinikal.

1913 dibaca
Berita Harian X