Jumaat, 25 Januari 2019 | 3:48pm
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin ketika menunjukkan program majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna selepas sidang media di Kementerian Pendidikan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Ziarah cakna kukuh hubungan sekolah, ibubapa dan pelajar

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengadakan program Ziarah Cakna di seluruh negara bermula Ahad ini bagi memperluas konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa, penjaga dan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata amalan ziarah guru ke rumah pelajar terpilih untuk menyantuni golongan ibu bapa atau penjaga mereka akan dijalankan sepanjang tahun ini.

"Sebelum ini, program ziarah seperti ini bukan teras dan pihak sekolah selalunya menziarahi rumah pelajar bermasalah tetapi dalam konteks baharu, kita mahu mengetengahkan nilai saling hormat serta budaya kasih sayang.

"Oleh itu, bukan pelajar bermasalah saja diziarah tetapi kita ziarah atas dasar berterima kasih dan menghormati ibu bapa yang mempunyai anak yang cemerlang termasuk mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amin berkata, program Ziarah Cakna akan menjadi pentas bagi guru dan ibu bapa berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan pelajar, memahami latar belakang keluarga mereka dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid.

Beliau berkata, program berkenaan akan membuka ruang bagi guru untuk lebih mendalami tingkah laku, merasai denyut kehidupan pelajar di rumah dan lain-lain keperluan atau bantuan kepada mereka.

“Maklumat seperti ini amat penting dihayati dalam membina asas bagi meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan pelajar," katanya.

Tambah beliau, majlis pelancaran Program Ziarah Cakna Ahad ini akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, di Kluang, Johor dan akan digerakkan secara rasmi di enam lokasi lain.

“Lokasi itu adalah Langkawi, Kedah; Pasir Mas, Kelantan; Kulai, Johor; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan Hulu Langat, Selangor," katanya.

647 dibaca
Berita Harian X