Ahad, 20 Januari 2019 | 2:57pm
TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail. - Foto Rosela Ismail

UTM tandatangani MoA, MoU dengan SISB

JOHOR BAHRU: Dalam usaha memperkasa dan memberi pendedahan mengenai kepentingan sertu bagi industri halal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Sertwo International Sdn Bhd (SISB) yang juga syarikat perkhidmatan sertu industri halal terkemuka di negara ini.

Sertu adalah proses menyucikan diri daripada najis mughalazah apabila tersentuh anjing, babi dan keturunannya yang basah atau terkena air liur.

Ia perlu disucikan dengan enam basuhan air mutlak dan satu kali basuhan air dicampurkan tanah.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata kerjasama pintar itu diharap akan meningkatkan taraf dan integriti baharu dalam industri pembersihan serta penyucian di Malaysia, sekali gus membudayakan pembersihan mengikut syarak supaya bersih lagi suci.

“Hasil kerjasama ini sijil pengesahan sertu untuk latihan dan perkhidmatan akan dikeluarkan UTM melalui Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFirst) serta SISB, ia akan menjadi satu tanda aras baru di negara ini.

“Ia (sijil) bukan sahaja akan menjadi simbolik pengesahan sertu, malah proses menyeluruh merangkumi prosedur operasi standard (SOP) termasuk proses keselamatan dalam memastikan kesucian dan kebersihan mutlak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili UTM dan menandatangani MoU serta MoA sambil disaksikan Pengarah CFirst UTM, Prof Dr Farahwahida Mohd Yusof.

SISB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azwa Omar Jalil disaksikan Pengasasnya, Jemizan Abu Bakar.

MoU dan MoA itu ditandatangani untuk memperkenal dan mewujudkan kesedaran pentingnya sertu dalam perniagaan terutama dalam industri halal, ia diharap memberi impak dan integriti dalam kehidupan seharian umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Nor Azwa berkata, pihaknya mempunyai pelbagai bidang perniagaan termasuk hartanah; makanan dan minuman; logistik; farmaseutikal, minyak dan gas; perkilangan; perkapalan dan penerbangan.

“Sekarang ini, kami mempunyai tiga produk utama yang sudah mendapat sijil pengesahan saintifik daripada Halal Verification dan Consultation Laboratories (Halvec), sebuah makmal panel kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami mengalu-alukan kerjasama ini dan berharap dapat memberi sumbangan kepada umat Islam dan semua pihak lain,” katanya.

304 dibaca
Berita Harian X