Jumaat, 11 Januari 2019 | 2:51pm
PELAJAR dan Penyelaras Program Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Muhammad Fadhil Mahmud Fakri dan guru melihat mencipta inovasi bagi menangani gejala buli di sekolah. Foto -FALIQ LAJIM

Murid cipta sistem notifikasi antibuli

KLANG: Tidak sanggup melihat adiknya kerap dibuli, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mencipta satu inovasi bagi menangani gejala itu.

Inovasi yang dinamakan Sistem Notifikasi Anti-Buli ini membolehkan guru bertindak pantas sekiranya berlaku kejadian buli di sekolah.

Pelajar Sekolah Rendah Islam Hira’ Klang, Umar Wafi Zulkafri, berkata idea itu tercetus apabila dia sering kali melihat adiknya, Iman Hasya, 8, mengadu dan menangis kerana dibuli.

Katanya, selepas kejadian itu, dia dan adiknya serta dua lagi rakan iaitu Muhammad Irfan Nazrin Mohd Nizaar, 12 dan Muhd Waseem Zainol, 12, mencipta inovasi berkenaan.

“Menerusi inovasi ini, dua butang akan diletakkan di sekitar kawasan sekolah, termasuk kelas dan tandas.

“Mereka yang dibuli atau ternampak kejadian itu boleh menekan butang yang disediakan. Dua butang itu mewakili kejadian buli yang membabitkan kata-kata dan kecederaan fizikal.

“Jika butang itu ditekan, satu notifikasi akan diterus dihantar di bilik guru dan telefon bimbit. Guru juga akan mendapat lokasi kejadian buli berkenaan supaya satu tindakan segera boleh diambil,” katanya di sini ini, hari ini.

Umar berkata, dia bercadang untuk menambah baik dengan meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) supaya bukti yang jelas dapat dirakam.

“Saya juga bersyukur kerana inovasi ini membolehkan kami memenangi anugerah International Stem Olympiad 2018 (Gold Award dan Best Performance Award) dan Smart Selangor Young Innovator for Primary School (Gold Award dan Diamond Award) pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, guru sekolah berkenaan yang juga Penyelaras Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Muhammad Fadhil Mahmud Fakri, berkata Umar mula mencipta inovasi berkenaan sejak tahun lalu.

“Cuma tahun ini, kita baru saja mahu memperkembang dengan meletakkan sistem notifikasi itu di setiap kelas dan lokasi yang boleh berlaku buli.

“Pada waktu ini hanya dua kelas mempunyai sistem berkenaan dan bilik guru lelaki saja yang boleh menerima notifikasi itu berikutan pihak kami tidak mempunyai dana mencukupi.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM1,500 bagi meletakkan ia dia setiap 40 tempat yang sudah dikenal pasti termasuk alatan penerima lokasi di empat bilik guru wanita,” katanya.

Beliau berkata, beberapa sekolah lain turut menyatakan minat untuk memasang sistem notifikasi antibuli itu, namun pihaknya mahu memastikan ia dilancarkan di sekolahnya terlebih dulu.

Berita Harian X