Khamis, 10 Januari 2019 | 6:34pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berucap pada majlis perasmian penutup Forum Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat, di Maktab PDRM Kuala Lumpur. - Foto Azhar Ramli

2 kementerian bincang mengenai pendidikan seks

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan mata pelajaran pendidikan seks.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata berdasarkan rekod dan statistik, seramai sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di kelas peralihan seluruh negara dikesan cergas dalam hubungan seks.

Sehubungan itu, beliau sendiri akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching, dalam masa terdekat bagi mengekang masalah terbabit.

“Pada masa ini, semua pihak harus bekerjasama dan berkongsi idea dalam mengatasi masalah hubungan seks di kalangan pelajar.

“Bagi saya, statistik sembilan peratus pelajar kelas peralihan terbabit dalam hubungan seks bebas adalah satu jumlah yang besar,” katanya selepas merasmikan penutup Forum Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat, di Maktab PDRM Kuala Lumpur.

Beliau berkata dalam mesyuarat antara kementeriannya dan Kementerian Pendidikan itu, satu rumusan berkemungkinan akan diputuskan bagi memastikan mata pelajaran pendidikan seks dapat dilaksanakan di semua peringkat sekolah.

Katanya, kalau kita tidak mengajar kanak-kanak ini mengenai pendidikan seks, mereka akan mengetahuinya melalui segala bentuk laman sosial yang ada pada masa ini dan kalau tak digunakan dengan cara yang betul, dikhuatiri ia akan menghancurkan satu generasi.

“Dalam zaman serba moden ini, remaja seawal usia 13 tahun sudah tahu apa itu seks, namun mereka perlu diberikan maklumat yang betul mengenainya.

“Justeru, pengajaran dalam mata pelajaran pendidikan seks ini amat penting dalam menyampaikan sesuatu perkara yang benar kepada anak-anak kita,” katanya.

564 dibaca
Berita Harian X