Khamis, 10 Januari 2019 | 11:24am
ANTARA pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menyertai UMP TRIZ Innovation Exposition 3.0 Kompleks Sukan UMP. - Foto Shahrinnahar Latib

150 inovasi dihasilkan oleh 866 pelajar UMP

KUANTAN: Sebanyak 150 projek inovasi berjaya dihasilkan menerusi Program UMP TRIZ Innovation Exposition 3.0 yang disertai 866 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kompleks Sukan UMP di sini, baru-baru ini.

Pengarah program, Imadduddin Abidin, berkata dalam pertandingan itu, setiap kumpulan menggunakan kaedah Teori Penyelesaian Masalah Inventif TRIZ (TRIZ) dalam mendapatkan penyelesaian masalah berkaitan dengan isu keselamatan.

“TRIZ adalah singkatan dalam bahasa Russia yang merujuk kepada Teorija Resenija Isobretatelskih Zadac ataupun boleh diterjemahkan kepada Teori Penyelesaian Masalah Inventif.

“Ia juga adalah satu hukum yang tidak berat sebelah yang lahir daripada evolusi sistem teknikal. Penemuan dan penstrukturan kepada hukum teori TRIZ ini ialah hasil daripada kajian dan analisis secara global beberapa puluh tahun.

“Inovasi teknologi TRIZ mempunyai banyak kebaikan antaranya meningkatkan pemasaran dalam menghasilkan produk yang kreatif, meningkatkan dengan cepat dalam pencarian penyelesaian yang inventif dan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertandingan inovasi itu adalah kemuncak kepada sesi pengajaran dan pembelajaran subjek UHS2021 Soft Skill II, iaitu yang berasaskan inovasi menyelesaikan masalah secara inventif.

“Semua aspek kemahiran ini amat penting dan adalah kunci utama dalam memperoleh pekerjaan. Ia juga dapat mengasah kemahiran insaniah mahasiswa dalam berfikir secara kritikal dalam penyelesaian masalah yang dihadapi,” katanya.

Pertandingan itu menyaksikan Anugerah Khas Industri (ICON) dimenangi Projek Multifunctional Dustbin hasil ciptaan kumpulan yang terdiri daripada Kum Yong Fang, Allen Lee Wei Kiat, Sean Senn Pow Chiok,Yong Yan Li dan Teong Chi Qi.

Bagi Anugerah Khas Kreativiti My TRIZ pula dimenangi menerusi produk Plastic Waste Collector hasil ciptaan Muhammad Syamil Sulaiman, Radfan Abdul Malek Mohammed Abdo AlQadhi, Teng Kar Hooi, Nur Syahirah Mohd Razi, Tan Choo Chien, Muhammad Hanif Kamarudin dan Muhammad Asyraf Hasan.

215 dibaca
Berita Harian X