Rabu, 9 Januari 2019 | 12:27pm
Profesor Datuk Dr Jamil Hamali ketika ditemui pada Program ‘Pluck and Pack’ Rambutan 2019 di Kota Samarahan. - Foto Norsyazwani Nasri

UiTM Sarawak komited tambah baik program perladangan

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak akan terus menambah baik program perladangan yang mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan belia di negeri ini.

Rektornya, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, berkata majoriti graduan pengurusan perladangan UiTM diambil bekerja dalam industri berkaitan di negeri ini.

“Kita tidak ada masalah dengan graduan pengurusan perladangan dan dalam industri ini sekarang, mahasiswa sentiasa mendapat tempat untuk mengisi sektor pekerjaan.

“Jika disemak, khasnya di ladang kelapa sawit dan ladang lain, majoriti daripada pengurusnya adalah bekas pelajar UiTM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program ‘Pluck and Pack’ Rambutan 2019 yang dibuka kepada warga UiTM Cawangan Sarawak dan penduduk sekitarnya, di sini, semalam.

Jamil ketika mengulas lanjut, berkata ladang UiTM Sarawak seluas 16 hektar secara keseluruhan ditanam dengan 21 jenis tanaman buah-buahan dan dua hektar adalah untuk rambutan.

“Ia adalah makmal semula jadi pelajar pengurusan perladangan yang dilatih oleh Unit Ladang UiTM Sarawak.

“Kita ingin memperkenalkan fungsi Unit Ladang selari dengan penawaran Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Ladang yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sarawak,” katanya.

Mengenai program itu, katanya, pihaknya ingin memberi peluang kepada pihak media merasai pengalaman memetik buah rambutan terus dari ladang.

“Tujuan program ini dianjurkan ialah untuk memberi peluang kepada pihak media dan orang awam merasai pengalaman memetik buah rambutan segar dari pokok,” katanya.

Jamil berkata, dengan bayaran masuk RM1, seorang boleh memetik maksimum 10 kilogram rambutan, manakala untuk warga UiTM bayaran yang dikenakan ialah RM1.50, dengan maksimum lima kilogram.

208 dibaca
Berita Harian X