Selasa, 8 Januari 2019 | 6:32pm
TOKOH Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - Foto Asyraf Hamzah

Perubahan kurikulum sekolah bina perwatakan pelajar

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk mengubah kurikulum di sekolah tepat pada masanya bagi meningkatkan kemahiran berfikir dan berkomunikasi, sekali gus membentuk peribadi pelajar yang lebih baik.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata sikap positif yang diterapkan dalam kalangan pelajar dapat mendidik generasi baharu lebih kompetitif dan bersaing mengejar kejayaan bermula dari bangku sekolah.

“Ia memang langkah tepat kerana nilai murni yang ditekankan di sebalik pembelajaran dapat membantu pelajar hadam bahawa ilmu yang ditimba bukan berdasarkan buku teks semata-mata.

“Sifat positif dalam agama Islam antaranya rajin, amanah dan menepati masa yang kebiasaannya dipraktikkan dalam solat seharusnya dipupuk menjadi sikap harian dalam kehidupan.

“Sudah semestinya pelajar akan berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat sekiranya pemahaman yang diperoleh dapat dikekalkan daripada sekolah rendah sehingga institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan kerajaan akan mengubah kurikulum di sekolah dengan memberi tumpuan kepada tiga aspek penting iaitu penguasaan terhadap ajaran Islam sebenar, bahasa Inggeris serta ilmu Sains dan Teknologi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata penguasaan bahasa Inggeris yang bakal diutamakan dapat membantu pelajar mempersiapkan diri seiring dengan perkembangan robotik, sains dan teknologi peringkat global.

“Kita tidak akan terus hanya menjadi pengguna semata-mata, malah akan menjadi pencipta inovasi dan masalah komunikasi takkan timbul sekiranya Bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan baik.

“Saya berharap kerajaan akan selaraskan pelaksanaannya ke semua sekolah termasuklah sekolah pondok dan maahad tahfiz kerana mereka juga perlu diberikan pendedahan, malah ramai pelajar aliran agama sudah menceburi bidang sains.

“Paling penting, perubahan kokurikulum ini dapat mempersiapkan diri pelajar terutamanya yang akan berkhidmat di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Aida Suraya Md Yunus, berkata perubahan itu dapat menumpukan pembentukan perwatakan pelajar.

“Sebagai contoh, pelajar beragama Islam belajar sejarah, tajwid, sirah dan hadis, namun tidak membudayakan nilai yang diperoleh di sebalik pembelajaran dalam kehidupan seharian.

“Begitu juga dengan penguasaan bahasa Inggeris dan pemerkasaan ilmu Sains dan Teknologi pastinya dapat melahirkan pelajar yang mencapai standard global.

“Paling penting, kaedah pelaksanaannya perlu diperhalusi dan bagaimana cara kita kaitkan nilai-nilai yang diperlukan untuk menarik minat pelajar,” katanya.

481 dibaca
Berita Harian X