Isnin, 7 Januari 2019 | 6:03pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik - Foto Adnan Ibrahim

Maszlee jumpa kerajaan negeri bincang penubuhan Universiti Johor

ISKANDAR PUTERI: Delegasi Kementerian Pendidikan hari ini membuat kunjungan hormat bertemu kerajaan negeri bagi membincangkan penubuhan Universiti Johor yang menjadi satu daripada manifesto Pakatan Harapan (PH).

Pertemuan delegasi diketuai Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dengan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berlangsung hampir satu jam, antaranya memberi tumpuan membincangkan penubuhan Universiti Johor.

Maszlee berkata perbincangan yang diadakan lebih kepada soal prinsip serta dasar penubuhan Universiti Johor dan pihak kementerian akan memberi sokongan sepenuhnya bagi menjayakan hasrat berkenaan.

“Perbincangan Universiti Johor (bersama kerajaan negeri) lebih pada peringkat prinsip dan dasar penubuhannya, kerajaan negeri sudah memulakan langkah itu dan Kementerian Pendidikan akan membantu sedaya mungkin untuk menjayakan harapan itu.

“Selain itu, dalam perbincangan tadi ada juga dibincangkan isu pendidikan di Johor yang memerlukan bantuan dan usaha daripada kerajaan negeri sendiri. Diharapkan perbincangan seperti ini dapat membuahkan hasil demi pembangunan pendidikan bukan saja di Johor, malah negeri lain seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.

Maszlee berkata, selain soal pendidikan, beliau juga mengutarakan beberapa isu serta permasalahan di kawasannya iaitu Parlimen Simpang Renggam termasuk isu air yang memerlukan bantuan dan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menanganinya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, selepas fasa pertama iaitu penubuhan Jawatankuasa Tenaga Pakar bagi membincangkan penubuhan Universiti Johor, kini perancangan masuk ke fasa kedua iaitu menentukan lokasi pusat pengajian itu untuk dibina bersama Kementerian Pendidikan.

“Lokasi untuk pembinaan Universiti Johor ini termasuk dalam perbincangan bersama Kementerian Pendidikan dan kedudukannya mungkin tidak jauh dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di Kota Tinggi,” katanya.

1517 dibaca
Berita Harian X