Ahad, 6 Januari 2019 | 4:11pm
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (kanan) melihat kemudahan telaga tiub yang tidak dapat digunakan dan memaksa pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Ledang terus menggunakan sumber air dari Gunung Ledang yang sudah digunakan sejak 68 tahun lalu berikutan ketiadaan kemudahan bekalan air terawat di sekolah itu. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Warga sekolah guna air dari Gunung Ledang sejak 68 tahun

TANGKAK: Seramai 12 guru dan 88 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Ledang di sini terpaksa menggunakan sumber air dari Gunung Ledang berikutan ketiadaan kemudahan air terawat hingga berdepan risiko masalah kesihatan.

Sumber air gunung yang digunakan warga sekolah itu sejak 68 tahun lalu juga tidak dapat digunakan ketika hujan apabila airnya menjadi keruh dan berkeladak.

Guru Besar, Mastura Ismail, berkata keadaan itu mencetuskan kebimbangan berikutan tahap kualiti air yang diragui, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan guru dan murid di sekolah berkenaan.

“Kita menggunakan sumber air dari Gunung Ledang sejak sekolah ini dibuka pada 1951 yang mana tahap kualiti dan kebersihan air ini tidak jelas, namun ketiadaan sumber air terawat menyebabkan kami terpaksa menggunakannya setiap hari.

“Mungkin masalah ini tidak berlaku pada waktu itu kerana boleh jadi tidak ada pencemaran, namun sekarang sudah wujud pelbagai aktiviti di kawasan gunung yang mencemarkan airnya.

“Ini berikutan wujud kes masalah kesihatan dalam kalangan guru dan murid yang mengalami kegatalan pada kulit dan juga beberapa kes seperti cirit birit. Kita bimbang sekiranya masalah ini tidak diatasi akan menyebabkan berlaku masalah penyakit seperti kencing tikus atau penyakit bawaan air lain.

“Pengurusan kantin sekolah juga terpaksa menggunakan kemudahan air dari mesin osmosis di kawasan lain atau bekalan air dari rumah sebelum di masak demi kesihatan guru dan murid. Namun, kami terpaksa menggunakan air gunung ini ketika membasuh tangan, berkumur, bersuci atau berwuduk hingga menyebabkan risiko mendapat penyakit masih lagi tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai lawatan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang meninjau masalah berkenaan di SK Puteri Ledang di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan masalah berkenaan demi kesejahteraan warga sekolah dan tidak mahu perkara itu akan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.

“Kita dapat aduan daripada pihak sekolah berkaitan kes ini di mana ia menyebabkan beberapa kes kesihatan seperti kegatalan dan masalah lain apabila mereka menggunakan air tidak terawat atau sumber air dari gunung ini.

“Kami juga bimbang jika masalah ini tidak diatasi akan menyebabkan risiko kesihatan yang lain seperti kencing tikus, taun dan penyakit berbahaya yang lain.

“Kita juga mendapat tahu pihak Syarikat Air Johor (SAJ) mempunyai rancangan untuk menyalurkan air ke sekolah ini namun saya khuatir kosnya agak tinggi kerana perlu menyambung paip dari Pekan Sagil dan mereka juga perlu memberikan keutamaan ke kawasan yang lain.

“Justeru itu, saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan meminta pihak sekolah supaya membekalkan maklumat supaya masalah ini akan dapat diatasi dengan sewajarnya. Perkara sama juga akan dibawa kepada Pejabat Daerah dan pihak bertanggungjawab yang lain kerana isu ini sudah ditanggung oleh pihak sekolah sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencari jalan alternatif termasuk memastikan kemudahan telaga tiub dapat berfungsi kembali selain mempelawa beberapa syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang penapisan air supaya membantu mengatasi masalah ini.

Katanya, pihaknya juga akan meminta kerajaan termasuk kerajaan negeri supaya memberi perhatian terhadap isu ini kerana masalah itu mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran sekolah serta pada masa sama berharap kemudahan air terawat dapat disediakan kepada SK Puteri Ledang ini kelak.

622 dibaca
Berita Harian X