Sabtu, 5 Januari 2019 | 6:49pm
Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail. - Foto Asyraf Hamzah

Noor Azizi dilantik Naib Canselor UMK

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Noor Azizi Ismail, 50, dilantik Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu berkuat kuasa Isnin ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Noor Azizi sebagai Naib Canselor UMK adalah selama empat tahun sehingga 2022.

Noor Azizi dilantik menggantikan Prof Datuk Dr Husaini Omar yang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Naib Canselor berakhir esok.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Noor Azizi sebagai Naib Canselor UMK adalah berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian ketika memegang jawatan pentadbiran utama di pelbagai peringkat.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Dr Noor Azizi dilahirkan pada 7 Januari 1969 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Sistem Maklumat Perakaunan dari University of Memphis, Amerika Syarikat.

“Beliau juga memperoleh Ijazah Kedoktoran Perakaunan dan Sistem Maklumat pada 2004 dari Loughborough University, United Kingdom,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Noor Azizi memulakan kerjaya sebagai pensyarah jurusan sistem maklumat perakaunan di UUM dan pernah menyandang jawatan sebagai Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Kolej Perniagaan UUM dan Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business UUM.

Noor Azizi pernah mendapat pelbagai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa antaranya, Lecturer Excellence Award daripada SAS Institute pada 2008, anugerah Kepimpinan Inovatif pada 2011, Anugerah Kepimpinan Pendidikan pada 2013 daripada CMO Asia’s Best B-School dan terbaharu pada 2018 menerima Movers & Shakers Award daripada Asia HRD Awards.

Justeru, kementerian berharap supaya pelantikan itu akan menyumbang kepada kesinambungan pencapaian dan kecemerlangan UMK dalam mencapai visi dan misi sebagai universiti yang berfokuskan keusahawanan.

Dalam pada itu, kementerian juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Husaini atas khidmat bakti, kepemimpinan serta kepakaran sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UMK.

950 dibaca
Berita Harian X