Sabtu, 5 Januari 2019 | 6:27pm
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto Mahzir Mat Isa

UEC: Hormat pandangan Dr Mahathir - GAPENA

KUALA LUMPUR: Masyarakat Cina di negara ini perlu akur dan menghormati pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) demi mengekalkan kestabilan negara.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata isu UEC bukanlah isu perkauman tetapi lebih kepada isu pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, pengiktirafan UEC akan mewujudkan kebimbangan orang Melayu kerana negara ini sudah mempunyai sistem pendidikan yang mantap.

“Di negara ini, masyarakat pelbagai kaum diakui melalui kewujudan sekolah yang berdasarkan kaum dan mata pelajaran mengikut kaum.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa di negara lain tidak dibenarkan wujud sekolah Cina walaupun di papan tanda adalah kenyataan yang jelas untuk difahami rakyat di negara ini.

“Justeru saya berpendapat pendirian kerajaan dalam hal UEC ini wajar difahami ‘rakyat’ yang menjadi warganegara,” katanya dalam kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, semua kaum di negara ini perlu memahami dan menerima pakai perlembagaan negara dalam kehidupan sebagai warganegara.

“GAPENA menyokong Tun Dr Mahathir dalam isu UEC dan akan bersama-sama Perdana Menteri dalam memperjelas asas menolaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai UEC dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, perasaan orang Melayu perlu turut dipertimbangkan sebelum UEC diiktiraf dan kenyataan itu dianggap sebagai meresahkan orang Cina.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam laporan BH hari ini, menafikan laporan kononnya beliau menolak pengiktirafan UEC dalam temubual bersama akhbar berbahasa Cina itu, sebaliknya mengatakan pengiktirafan berkenaan perlu mengambil kira sensitiviti semua pihak.

“Mengenai UEC, saya tidak pernah menolaknya. Apa yang saya kata ialah ada isu sensitif dalam kalangan orang Melayu yang perlu diambil kira dan juga kaum lain,” katanya yang turut menasihatkan media melaporkan berita yang benar.

2365 dibaca
Berita Harian X