Sabtu, 5 Januari 2019 | 5:49pm
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa. - Foto Fariz Iswadi Ismail

GPMS gesa bubar jawatankuasa kaji UEC

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, membubarkan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa, mendakwa penubuhan jawatankuasa itu tidak lagi relevan kerana bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan majoriti rakyat Malaysia berhubung UEC.

Katanya, tidak adil jika kerajaan merombak Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk mengiktiraf UEC, semata-mata bagi memenuhi kehendak sebilangan kecil rakyat yang memilih untuk tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“GPMS senada dengan Perdana Menteri bahawa sebarang bentuk pengiktirafan ke atas UEC perlu melihat faktor persekitaran semasa dan kesesuaian pelbagai sudut, termasuk teknikal serta persepsi umum terhadap UEC.

“Isu ini bukan saja sensitif kepada orang Melayu, tetapi kerajaan juga perlu ambil kira perasaan bangsa lain termasuk orang Cina, India dan lain-lain, yang setia dan menerima sistem pendidikan kebangsaan.

“Memandangkan Perdana Menteri sudah menyatakan pendirian dalam isu UEC, maka sewajarnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, membubarkan Pasukan Petugas Dasar UEC kerana ia tidak lagi relevan dan bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri serta majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Dr Mahathir dalam satu temu bual eksklusif bersama Sin Chew Daily, dilaporkan berkata pengiktirafan UEC perlu mengambil kira perasaan orang Melayu.

Laporan akhbar berbahasa Cina itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina yang kebanyakannya beranggapan bahawa Dr Mahathir enggan mengiktiraf UEC.

Bagaimanapun, Dr Mahathir ketika sidang media semalam, menafikan beliau tidak mengiktiraf UEC, sebaliknya pengiktirafan sijil itu perlu mengambil kira sensitiviti semua kaum.

Pada 31 Julai lalu, Maszlee dilaporkan berkata jawatankuasa dikenali sebagai Pasukan Petugas Dasar UEC, ditubuhkan untuk mengkaji peperiksaan itu secara menyeluruh, sebelum memutuskan mengenai pengiktirafannya.

368 dibaca
Berita Harian X