Sabtu, 5 Januari 2019 | 3:07pm
Pensyarah Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM, Dr Dayana Farzeeha Ali (dua dari kanan), Pengarah Endowment UTM, Prof Madya Dr Yusof Boon (tengah) dan Jurupulih Carakerja Pusat Pembelajaran Khas Hospital Pakar Penawar, Ruwinah Abdul Karim (kiri sekali) melayan kanak-kanak pada hari terbuka Pusat Terapi dan Pembelajaran Little Genius di UTM, Skudai. - Foto Mohd Fahmi Yusof

Little Genius di UTM mula operasi

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini memulakan operasi Pusat Terapi dan Pembelajaran Little Genius yang bertujuan memberi lebih fokus kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Terletak di Rumah Alumni, UTM Skudai di sini, pusat yang mula dibuka kepada umum itu diuruskan Unit Endowmen UTM dan akan dikendalikan bersama Kumpulan Penyelidik Pendidikan dan Pembangunan Komuniti (CDE) serta Penawar Special Learning Center (PSLC).

Kumpulan penyelidik CDE diketuai pensyarah daripada Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM, Dr Dayana Farzeeha Ali dan Dr Muhammad Khair Noordin.

Dr Dayana berkata, Pusat Terapi dan Pembelajaran Little Genius menawarkan program latihan kepada mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan kanak-kanak berkeperluan khas seperti ibu bapa, guru, penjaga dan juga institusi pendidikan.

“Semua program yang berkaitan dengan Pendidikan dan Latihan akan dikendalikan oleh pihak CDE, manakala Penawar Special Learning Centre bertanggungjawab mengendalikan semua program terapi bagi kanak-kanak berkeperluan khas.

“Pusat terapi dan pembelajaran ini juga dilengkapi sebuah ruang iaitu ‘Multi-Sensory Smart Room’ bertujuan untuk aktiviti terapi kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya kanak-kanak autisme.

“Penyelidikan ini juga mendapat suntikan dana daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Jurupulih Carakerja Pusat Pembelajaran Khas Hospital Pakar Penawar, Ruwinah Abdul Karim.

Dr Dayana berkata, ibu bapa atau masyarakat perlu mempunyai kesedaran untuk mempunyai pengetahuan mengenai keperluan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Oleh itu pembukaan pusat ini dapat menyerlahkan peranan UTM untuk membantu membangun dan melatih masyarakat sekitar khususnya bagi mereka yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas.

“Melalui pusat ini, ibu bapa atau masyarakat akan dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk kanak-kanak berkeperluan khas ini supaya dapat meningkatkan kualiti hidup mereka supaya keperluan mereka tidak terabai,” katanya.

Katanya, sempena pelancaran itu juga majlis hari terbuka turut diadakan bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari tadi yang dihadiri lebih 200 orang pengunjung dari sekitar bandar raya dan daerah lain.

Antara aktiviti yang diadakan ialah sesi ceramah berkaitan dengan masalah pembelajaran, ceramah belajar melalui bermain, pemeriksaan saringan autisme secara percuma, sesi terapi percuma, aktiviti kraftangan dan kesenian untuk kanak-kanak.

272 dibaca
Berita Harian X