Khamis, 20 Disember 2018 | 8:51pm
TAN Sri Lee Lam Thye - Foto NSTP

Tumpu pembinaan karakter murid

KUALA LUMPUR : Keputusan Kementerian Pendidikan tidak mengadakan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun Tahap Satu bagi murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula tahun depan disifatkan sebagai tepat pada masanya kerana ia membolehkan guru menumpukan perhatian kepada pembinaan karakter.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata orang ramai perlu menyokong usaha kementerian berkenaan kerana pendidikan tidak semata-mata mengenai kajian dan peperiksaan.

Katanya, membina watak dan mengajar murid mengenai nilai mulia yang dilihat kurang dalam generasi muda hari ini adalah elemen paling mustahak yang perlu diberikan perhatian.

“Ramai pelajar sekolah sukar menyebut ‘terima kasih’ sedangkan apa yang kita mahu capai ialah menanamkan nilai murni dalam kalangan golongan muda sejak usia kanak-kanak lagi kerana ia bukan saja boleh diamalkan hingga dewasa, malah membantu mengurangkan masalah sosial di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, mengulas keputusan Kementerian Pendidikan untuk tidak mengadakan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun Tahap Satu bagi murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula tahun depan.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata langkah itu diambil bagi membolehkan guru memberi lebih tumpuan kepada proses pengajaran untuk membina perkembangan karakter dan sahsiah murid, sekali gus mengurangkan penekanan pembelajaran berorientasikan peperiksaan.

Bagaimanapun, ujian bertulis tetap dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pelbagai kaedah dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Pelaksanaan ujian bertulis pula bergantung kepada pihak sekolah sama ada hendak dijalankan secara mingguan atau bulanan bagi memastikan setiap murid mampu mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran.

Lam Thye, yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, turut menyarankan negara mempelajari sistem pendidikan Finland yang menekankan kerjasama, bukannya persaingan dalam kalangan pelajar.

Katanya murid diberikan tumpuan besar dalam bermain, tanpa pendidikan formal sehingga berusia tujuh tahun, malah mereka diberi waktu bermain selama 15 minit bagi setiap 45 minit belajar.

“Keadaan ini berbeza di kebanyakan negara Asia, di mana kanak-kanak berusia tiga tahun diberikan tumpuan untuk belajar kerana takut ditinggalkan dalam persaingan sengit dalam kalangan rakan sebaya,” katanya.

Lam Thye, berkata guru di negara yang memiliki sistem pendidikan terbaik dunia itu turut memiliki kuasa autonomi dalam menilai pelajar dengan hampir tiada ujian piawai rasmi.

Satu-satunya peperiksaan kebangsaan, yang dikenali sebagai peperiksaan matrikulasi, diadakan pada akhir pendidikan menengah am secara umum yang hasilnya digunakan untuk memasuki pendidikan tinggi.

“Pelajar tidak mempunyai kerja sekolah yang banyak kerana dalam kalangan masyarakat Finland, mereka percaya tugas anak mereka adalah untuk bermain,” katanya.

Beliau turut memetik kajian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), di mana purata murid Finland memperuntukkan hanya 2.8 jam seminggu untuk membuat kerja sekolah.

Malah, di bawah peruntukan perundangan, guru seharusnya memberi pelajar rehat selama 15 minit bagi setiap 45 minit pengajaran.

Bagi pelajar tahun satu dan dua pula, mereka hanya perlu pergi ke sekolah untuk tempoh selama empat jam setiap hari dan mesti memiliki 75 minit waktu rehat pada hari persekolahan.

Lam Thye berkata Malaysia juga seharusnya mencontohi cara Finland yang mana gurunya diberi layanan seperti Profesor di Universiti, yang hanya mengajar antara empat dan lima jam sehari, dengan lebih banyak masa diperuntukkan untuk perancangan pelajaran.

Katanya, ibu bapa di negara berkenaan turut mengandaikan guru menumpukan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran di sekolah manakala di rumah, khas untuk keluarga, di mana satu-satunya pelajaran yang memberi pendidikan berhubung aspek kehidupan.

“Saya percaya pencapaian status negara maju dan berpendapatan tinggi hanya akan bermakna jika Malaysia dapat menanam budaya dan nilai mulia dalam kalangan pelajarnya, dan bukannya memenuhi masa muda mengejar A,” katanya.

Tegas beliau, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menyemai nilai murni dan kerja amal dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama generasi muda, antaranya menerusi pendidikan moral.

Berita Harian X