Khamis, 29 November 2018 | 3:54pm

UMP kutip RM575,000 hasil komersial tujuh teknologi

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengkomersialkan tujuh teknologi dibangunkan penyelidiknya yang membawa pulangan pendapatan berjumlah RM575,000, tahun ini.

Kejayaan itu menolak persepsi bahawa penyelidikan dilakukan universiti tempatan tidak membuahkan hasil dari sudut pengkomersialan seperti didakwa segelintir pihak.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata tahun ini menyaksikan UMP mencatatkan pertumbuhan menggalakkan dalam aktiviti pengkomersialan apabila teknologi serta inovasi dibangunkannya mendapat perhatian rakan industri.

“Sehingga November lalu, sebanyak tujuh teknologi dalam bentuk paten, ciptaan utiliti dan hak cipta sama ada dilesen atau dijual terus kepada rakan industri dengan nilai terkumpul RM575,000.

“Nilai berkenaan mencatatkan peningkatan sebanyak 29 kali ganda berbanding nilai pelesenan pada 2017. Ia adalah hasil usaha berterusan dan sokongan padu ahli serta ekosistem inovasi di UMP yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kejayaan lain dicatatkan bagi pembangunan teknologi pada tahun ini adalah merekodkan nilai jualan berjumlah RM649,089 untuk enam produk teknologi melalui aktiviti validasi pasaran dan produk di peringkat awal pengkomersialan.

“Nilai jualan ini menyumbang kepada peningkatan jualan produk teknologi UMP sehingga 30 Oktober pada kadar RM1,133,711 berbanding RM986,821 bagi 2017 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 14 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Daing Nasir berkata, tahun ini turut mencatatkan kesinambungan program teknoushawan di UMP yang dilaksanakan sejak tahun lalu dengan kerjasama strategik bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) melalui program dikenali Synbiosis.

“Melalui program ini, produk teknologi UMP yang sudah disaring dipadankan dengan usahawan muda tekno dilatih MTDC. Sebanyak tujuh syarikat Symbiosis ditubuhkan dan berjaya menjana dana pengkomersialan bernilai RM2.4 juta.

“Usaha sama strategik juga dijalankan dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera dan membawa kepada penjanaan dana pengkomersialan bernilai RM2 juta kepada empat syarikat usahawan tekno UMP,” katanya.

Katanya, peranti elektronik dibangunkan penyelidiknya untuk pengesanan dan pengelasan aroma untuk gaharu juga menerima dana pengkomersialan berjumlah RM778,200 dari PlaTCOM Ventures serta UMP Holdings Sdn Bhd (UMPH).

“Tambah membanggakan, kebanyakan produk mendapat pembiayaan pengkomersialan ini dibangunkan barisan penyelidik muda UMP dengan bimbingan penyelidik kanan. Ia satu petanda baik kepada kelestarian ekosistem inovasi UMP,” katanya.

255 dibaca
Berita Harian X