Isnin, 19 November 2018 | 4:12pm
MASZLEE bersama Mujahid Yusof Rawa, beramah mesra bersama pegawai daripada JAKIM dan LPM ketika Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Penganugerahan Sijil Tahfiz KPM di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

249 pelajar terima Sijil Tahfiz KPM Disember ini

KUALA LUMPUR: Seramai 249 pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dijangka menerima Sijil Tahfiz Kementerian Pendidikan pada Disember ini.

Kesemua pelajar berkenaan adalah dari Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata, penganugerahan sijil berkenaan berperanan sebagai nilai tambah kepada pelajar yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di peringkat menengah rendah dan menengah atas.

“Saya dimaklumkan oleh pihak guru bahawa semua pelajar yang bakal menerima sijil Tahfiz sudah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Kejayaan ini sekali gus menjadi permulaan baik dalam usaha kemenjadian murid seiring hasrat kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan Islam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Menandatangani Nota Kerjasama Penganugerahan Sijil Tahfiz KPM antara kementeriannya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Bangunan Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM, Paimuzi Yahya dan Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran, Adzman Talib.

Menurut Maszlee lagi, sehingga tahun ini, sebanyak 17 SABK sudah pun mengikuti KBT dan angka berkenaan dijangka bertambah pada tahun berikutnya.

“Melalui KBT, kita percaya lebih ramai pelajar yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran selain dapat membentuk profesional yang mempunyai asas keagamaan yang mantap, berketerampilan dan kepemimpinan.

“Dalam hal ini juga, tujuan yang paling penting adalah supaya al-Quran dapat dihayati sepenuhnya dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain 17 sekolah SABK, 11 Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) juga mula mengikuti KBT.

Berita Harian X