Khamis, 15 November 2018 | 3:20pm
PROF Madya Dr Afandi Ahmad.

Alumni UTHM pertama dilantik TNC HEPA

KUALA LUMPUR: Prof Madya Dr Afandi Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 November 2018 hingga 14 November 2021.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Prof Madya Dr Asri Selamat yang tamat tempoh pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) pada 14 November lalu.

Afandi, 39, mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi alumni UTHM pertama yang dilantik jawatan sebagai TNC HEPA di universiti itu.

Beliau sebelum ini turut melakar sejarah dalam landskap kepemimpinan UTHM apabila menjadi individu pertama dan termuda menggalas amanah sebagai Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) bermula 1 Ogos 2017 sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.

Afandi berkata, beliau berhasrat untuk memperkukuhkan peranan HEPA di UTHM antaranya dengan memberi fokus kepada keberhasilan mahasiswa yang kompeten membabitkan lima aspek iaitu Kebitaraan Diri, Akhlak dan Integriti, Jasmani dan Emosi, Kesukarelawan serta Inovatif.

Katanya, bagi membolehkan lima keberhasilan itu dicapai, pelbagai tindakan strategik perlu dirangka supaya impak positif diraih oleh mahasiswa khususnya.

“Dengan tema ‘Memacu Pengalaman Kampus Menyeluruh’, saya melihat perancangan ini membolehkan tempoh keberadaan mahasiswa di universiti dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu kecemerlangan diri bagi mendepani cabaran dunia sebenar di luar sana yang semakin kompleks,” katanya.

Menyingkap kepimpinannya yang terdahulu, anak jati kelahiran Johor itu juga pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Pengetua bagi Kolej Kediaman Perwira (KKP) pada masa sama, selain pernah menjawat jawatan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKEE serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Komputer seawal usia 26 tahun.

Ketika berada di KKP dan FKEE, pemegang ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dari Brunel University, London itu pernah melakukan pelbagai transformasi semasa menggalas dua jawatan berkenaan secara serentak pada ketika itu.

Antaranya KKP berjaya dianugerahkan status Kolej Kediaman Cemerlang selama empat tahun berturut-turut iaitu 2014, 2015, 2016 dan 2017 dan menjadi sejarah dalam kalangan kolej kediaman di UTHM.

Selain itu, aktiviti pelajar di KKP juga diiktiraf di peringkat kebangsaan dan menjadikan KKP pelopor sebagai Kolej Kediaman Karbon Rendah selain dalam aspek inovasi dan modul holistik pelajar.

Kepimpinan beliau terus menyerlah apabila apabila FKEE berjaya disenaraikan dalam Top 400 QS World University Ranking by Subject bagi tahun 2016 serta pengiktirafan cemerlang bagi program akademik sarjana mudanya.

Dengan slogan 'Transformasi Minda', pelbagai usaha positif dilaksanakan di FKEE misalnya dengan mewujudkan sistem sokongan pelajar menerusi Transformasi Minda Mahasiswa (TMM) selain memberikan fokus kepada usaha memperkukuh muafakat dalam kalangan staf dan pelajar.

Berita Harian X