Jumaat, 9 November 2018 | 10:11pm
RAJA Azura Raja Mahayuddin - Foto OWEE AH CHUN

Peruntukan RM210 juta kepada Yayasan Peneraju perkasa bidang pendidikan

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2019 baru-baru ini khususnya usaha kerajaan yang terus memberi tumpuan kepada pembangunan bidang pendidikan dan modal insan terutama golongan berpendapatan rendah.

Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, usaha itu akan memastikan rakyat Malaysia akan terus diberi peluang saksama untuk menambah baik dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Katanya, dalam pembentangan belanjawan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Yayasan Peneraju menerima peruntukan sebanyak RM210 juta untuk meneruskan usaha memperkasa bidang pendidikan dan membangun modal insan mensasarkan generasi muda menerusi program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Beliau berkata, Belanjawan 2019 membuktikan kepimpinan di bawah kerajaan baharu menaruh kepercayaan terhadap Yayasan Peneraju untuk melaksanakan tanggungjawabnya dan pada masa sama mengiktiraf kejayaan yang diraih Yayasan Peneraju selama ini.

“Belanjawan 2019 menunjukkan kerajaan begitu komited untuk meningkatkan kehidupan rakyat ke tahap yang lebih baik.

“Kami gembira dan berbesar hati kerana kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pemerkasaan golongan berpendapatan rendah. Bagi Yayasan Peneraju, kami komited untuk mengukuhkan ekonomi Bumiputera selaras mandat kerajaan untuk memperkasa bidang pendidikan dan modal insan.”

“Kami akan menggandakan usaha untuk mempertingkatkan skil, pengetahuan, iltizam dan daya saing mereka untuk mencipta kejayaan dan menikmati masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Raja Azura berkata, sepanjang 6 tahun lalu, lebih 22,000 rakyat negara ini telah menerima manfaat daripada Yayasan Peneraju menerusi program pembangunan dan kemudahan pembiayaan merangkumi bidang pendidikan, latihan TVET dan pensijilan profesional.

Katanya, Yayasan Peneraju akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan dari pelbagai bidang dan industri untuk melaksanakan program-programnya yang telah berjaya memberikan hasil membanggakan sejak 6 tahun lalu.

Raja Azura turut menyeru generasi muda untuk merebut lebih 7,000 peluang baharu yang akan ditawarkan pada tahun depan.

Beliau berkata, ia termasuk pensijilan dalam bidang berkaitan teknologi, program-program akreditasi profesional untuk perakaunan dan kewangan, program baharu yang dikenali sebagai “Khaira Ummah” dan tidak ketinggalan Super High Income Programme (SHIP) untuk meningkatkan bilangan Bumiputera yang mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan dalam bidang terpilih.

249 dibaca
Berita Harian X