Jumaat, 9 November 2018 | 5:38pm
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

CAP terima Anugerah UIAM

GOMBAK: Badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan menerima Anugerah Merit Ibnu Khaldun 2018 bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-34 di sini, esok.

Anugerah itu akan disampaikan oleh Menteri Pendidikan yang juga Presiden UIAM, Dr Maszlee Malik.

UIAM memperkenalkan anugerah khas itu untuk mengiktiraf sumbangan badan-badan amal dan bukan kerajaan terhadap perkembangan serta transformasi ilmu.

Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata ini adalah kali pertama sebuah universiti memberi anugerah kepada organisasi dan bukannya kepada individu.

“Buat pertama kalinya UIAM menganugerahkan kepada organisasi, berbanding universiti lain hanya tertumpu kepada sumbangan individu saja.

“Apa yang diharapkan, ia akan membuka ruang yang lebih luas untuk universiti menjalinkan hubungan lebih rapat dengan masyarakat,” katanya.

Anugerah itu untuk menghargai sumbangan CAP kepada masyarakat Malaysia yang menjalankan kempen kesedaran kepenggunaan dalam pelbagai aspek seperti kualiti kehidupan, termasuk makanan, barangan, produk kewangan serta hak asasi untuk persekitaran yang selamat dan bersih.

Sejak penubuhannya pada 1970, CAP banyak membantu pengguna dalam menyelesaikan permasalahan yang diadukan dengan pengerusinya, SM Mohamed Idris akan hadir untuk menerima anugerah itu bagi pihak organisasi berkenaan.


SM Mohamed Idris. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pengenalan anugerah baharu itu adalah inovasi yang diperkenalkan oleh Dzulkifli yang baru dilantik pada Julai lalu dan ingin membawa perubahan dalam UIAM supaya tidak menjadi sebuah menara gading yang disegani tetapi tidak mampu berinteraksi dengan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mahu mewujudkan hubungan dengan industri dan institusi pendidikan tinggi lain, malah NGO yang berpengalaman membantu masyarakat dan mampu mewujudkan kesedaran mengenai hak rakyat terutama untuk hidup dalam persekitaran lestari.

Katanya, pelajar dan pensyarah perlu memainkan peranan penting dalam mengkaji inovasi yang mampu membantu pembangunan sosioekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Peranan NGO dalam menyediakan maklumat berkaitan kehendak dan keperluan masyarakat amat penting bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga untuk pensyarah kerana maklumat yang dikumpulkan oleh NGO dari lapangan boleh digunakan untuk menyelesaikan permasalahan dalam masyarakat untuk membina negara maju,” katanya.

Pada konvokesyen UIAM tahun ini, seramai 5,413 graduan akan diraikan dengan 4,449 graduan akan menerima ijazah sarjana muda serta 964 graduan menerima ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pengajian daripada 16 Kulliyyah (Fakulti).

188 dibaca
Berita Harian X