Khamis, 8 November 2018 | 9:58am
GHAZZALI (tengah) bersama-sama pemenang pertandingan Akhir Cabaran Perniagaan Serantau bersempena dengan YCDP 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
PEMENANG meraikan kejayaan pada program YCDP 2018.
SALAH satu kumpulan, Thai Thai membuat pembentangan produk Toost.

Membina bakat CEO muda

KUALA LUMPUR: Kumpulan Por Mo muncul juara keseluruhan Pertandingan Akhir Cabaran Perniagaan Serantau sempena Young CEO Development Programme (YCDP) 2018 dianjurkan Axiata Group Berhad (Axiata), di sini baru-baru ini.

Produk aplikasi mudah alih dihasilkan kumpulan itu, mampu membantu pembeli mengenalpasti diskaun atau promosi harga ditawarkan kedai di sekitar kawasan mereka secara mudah, menarik perhatian juri sehingga melayakkan mereka bergelar juara.

Ketua Kumpulan, Ng Siew Sanz, berkata produk dinamakan Por Mo yang menyasarkan pembeli muda dalam kalangan individu berumur 17 hingga 29 tahun, menawarkan lima manfaat kepada pengguna, iaitu platform pusat sehenti maklumat diskaun, mengenalpasti diskaun untuk pengguna di kawasan sama, ganjaran eksklusif, pembayaran secara Quick Response (QR) dan pembelian merentas sempadan.

Beliau berkata, kelebihan bakal diterima penjual pula, produk itu membantu mempromosikan produk dan tawaran diskaun diberikan, sekali gus mampu menarik pelanggan ke kedai mereka.

“Kemenangan ini cukup membanggakan kerana sepanjang bertanding, kami berdepan pelbagai cabaran, termasuk menggabungkan idea dan mendapatkan persetujuan setiap ahli kumpulan bagi membuat keputusan.

“Ditambah komitmen lain yang dipikul ahli kumpulan masingmasing, kami sering kali terpaksa melakukan perbincangan secara dalam talian, terutama apabila harus memperbaiki input diperoleh dari semasa ke semasa,” katanya kepada BH, di sini.

Latihan secara holistik Majlis penyampaian hadiah pertandingan itu disempurnakan Pengerusi Interim/Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan/Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Seramai 133 peserta menonjolkan bakat melalui persembahan dan penyampaian mengenai produk perniagaan yang dihasilkan.

Sementara itu, Jamaludin berkata, YCDP adalah program kepimpinan di bawah Program Bakat Muda Axiata (AYTP) anjuran syarikat korporat itu yang bermatlamat menyediakan peluang kepada individu berusia 20 hingga 25 tahun terdiri daripada individu baru memulakan kerjaya profesional, graduan dan mahasiswa untuk mengikuti latihan secara holistik bagi membentuk bakat diri sebagai CEO.

“Sepanjang 12 minggu bersaing di Cabaran Perniagaan Serantau, enam kumpulan yang bertanding perlu melaksanakan beberapa tugasan dan misi, termasuk ‘terbang’ ke Nepal dan Thailand bagi meninjau pasaran perniagaan serta keperluan ekonomi masyarakat di negara terbabit.

“Hasil tinjauan dan kajian dilakukan kumpulan ini yang masing-masing kumpulan ditugaskan ke Nepal dan Thailand, mereka perlu mencipta aplikasi bagi memberi manfaat kepada sektor perniagaan di sana,” katanya.

363 dibaca
Berita Harian X