Isnin, 5 November 2018 | 6:45pm
Pelajar menghadiri Seminar SPM BH SKOR Prolintas di Dewan Utama Sekolah Menengah Orkid Desa, Cheras. - Foto Aziah Azmee

SPM 2018 bermula 13 November hingga 13 Disember

PUTRAJAYA: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan bermula daripada 13 November hingga 13 Disember ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, seramai 421,706 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu tahun ini di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Seramai 33,361 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan,” menurut kementerian itu lagi.

Calon SPM pada tahun ini adalah terdiri daripada calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (86 peratus), calon Sekolah di bawah Agensi Kerajaan selain Kementerian Pendidikan (2.3 peratus), calon Sekolah Menengah Agama Negeri (1.9 peratus), calon Sekolah Menengah Agama Rakyat (0.5 peratus), calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM (3.3 peratus) dan calon persendirian enam peratus.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

“Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

206 dibaca
Berita Harian X