Isnin, 5 November 2018 | 12:48pm
NAIB Canselor UMK, Prof Datuk Dr Husaini Omar melancarkan sistem e-sedekah@umk pada sambutan Malam Apresiasi UMK 2018 di Kota Bharu, malam tadi. - Foto Siti Rohana Idris

UMK lancar e-sedekah@umk

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan sistem e-sedekah@umk bagi kemudahan orang ramai terutama warga universiti itu menyalurkan derma mereka kepada golongan memerlukan.

Sistem itu diaplikasikan dengan mengimbas kod maklum balas pantas (QR) yang terdapat di sekitar UMK menggunakan kamera telefon pintar dengan memuat naik aplikasi pengesan kod bar.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Husaini Omar, berkata sistem yang dilaksanakan di bawah Pusat Islam UMK dihubungkan dengan bank untuk tujuan keselamatan dan Bank Muamalat dipilih bagi kerjasama itu.

"Ia diperkenalkan bagi memudahkan urusan bersedekah tanpa mendedahkan kepada umum mengenai amalan itu serta jumlah sumbangan.

“Ia juga bertujuan memupuk amalan bersedekah khususnya dalam kalangan warga UMK ini sendiri bagimembantu mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas sambutan Malam Apresiasi UMK 2018 di sini malam tadi.

Beliau berkata wang yang terkumpul hasil sedekah itu akan digunakan untuk membantu pelajar yang memerlukan serta menyediakan peralatan untuk pembelajaran di UMK sendiri.

Pada sambutan Malam Apresiasi UMK 2018, hampir 400 warganya yang cemerlang dalam akademik, urus tadbir dan penyelidikan diraikan termasuk atlit yang mengharumkan nama UMK.

Husaini berkata bertepatan dengan tema iaitu membudayakan kecemerlangan, kehebatan UMK terutama dalam tadbir urus sudah terbukti dengan banyak pengiktirafan di peringkat nasional.

"Jika dilihat dalam bidang penyelidikan pula, banyak kajian yang dijalankan bukan bersifat 'syok sendiri' tapi ia mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

"Langkah seterusnya adalah untuk mengkomersilkan kajian itu supaya memberi manfaat kepada masyarakat dan negara," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X