Ahad, 4 November 2018 | 10:26am
TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff. - Foto ihsan pembaca

UMP bangunkan 700 inovasi

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya membangunkan 700 inovasi sejak diwujudkan 16 tahun lalu, sekali gus membuktikan kemampuannya dalam bidang penyelidikan inovasi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff, berkata jumlah itu bersamaan dengan purata 1:1 iaitu setiap seorang pensyarah di UMP menghasilkan sekurang-kurangnya satu penyelidikan.

Katanya, pencapaian itu agak membanggakan kerana usia UMP yang boleh dianggap muda berbanding Universiti Awam (UA) lain namun ia berjaya membangunkan penyelidikan inovasi terutamanya yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“UMP seperti universiti lain melalui pertumbuhan organik yang berlaku secara berperingkat mengikut acuan pembelajaran dan organisasi itu.

“Kita sebenarnya lebih cepat kerana bermula pada tahun 2002 dan mula menunjukkan hasil pada 2015, UMP sekarang mempunyai 24 produk inovasi yang berpotensi...daripada jumlah itu 15 daripada sudah dikomersialkan dan dijangka tiga lagi menjelang penghujung tahun,” katanya ketika ditemui NSTP di UMP Kampus Pekan sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, ada di antara inovasi dibangunkan penyelidik UMP memberi manfaat kepada masyarakat seperti Pisoptera iaitu umpan anai-anai dihasilkan menggunakan bahan semulajadi untuk menyelesaikan masalah berkaitan.

“Kita juga ada inovasi seperti Biofeedback yang membantu mengatasi masalah pelajar tidak berdisiplin serta bekas penagih.

“Penyelidik kita juga ada menghasilkan mesin memotong daun mengkuang dengan yang memudahkan masyarakat Orang Asli di Chini, Pekan membuat anyaman sekali gus meningkatkan produktivitinya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, empat pendekatan diambil untuk memastikan sesebuah inovasi dapat dikomersilkan iaitu membuat penilaian teliti bagi mengenal pasti potensinya selain melindungi hak intelek rekaan penyelidik UMP.

“Kita juga meminta penyelidik terus melakukan penambahbaikan dan menganjurkan kursus keusahawan dibantu agensi kerajaan lain bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan perniagaan termasuk dengan membawa usahawan terkemuka sebagai motivasi.

“Kita turut menjalinkan hubungan baik dengan agensi kerajaan yang dapat membantu menonjolkan inovasi dihasilkan penyelidik, pihak terbabit adalah Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), PlaTCOM Ventures dan Nanomalaysia Bhd,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan UMP berharap penyelidik universiti itu akan terus melakukan pembangunan penyelidikan inovasi untuk memastikan produk dihasilkan mampu dikomersilkan namun pada masa sama memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, pihaknya mengakui banyak cabaran perlu dilalui termasuk sikap industri yang cenderung memilih produk sudah siap sepenuhnya selain memerlukan dana terutama bagi mengembangkan lagi potensi sesebuah inovasi.

“Selain itu, produk mempunyai keperluan peraturan berbeza yang perlu diikuti contohnya sekiranya ia membabitkan sesuatu yang dimakan...ia memerlukan kita memenuhi peraturan Kementerian Kesihatan.

“Bagi memastikan inovasi dapat dikomersialkan, kita juga ambil pendekatan menggalakkan mereka yang berminat termasuk pelajar untuk mengikuti program keusahawan dan menubuhkan syarikat sendiri.

“Mereka ini boleh memberikan penerangan mengenai produk dan menjualnya pada medium perniagaan dalam talian, selain itu kita memasarkan inovasi menerusi UMP Holdings serta anak syarikatnya,” katanya.

INFO

Kira-kira RM131 juta peruntukan disalurkan untuk membantu penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi membangunkan inovasi di peringkat awal sebelum dikomersilkan di pasaran terbuka sejak 2002 sehingga kini.

Kira-kira RM47 juta disalurkan oleh UMP bagi melaksanakan 178 projek penyelidikan inovasi.

16 dibaca
Berita Harian X