Rabu, 31 Oktober 2018 | 5:03pm
Puvan Balachandran (tengah) bersama-sama pengurusan tertinggi UNITAR dengan anugerah Putra Brand Awards 2018.

UNITAR raih anugerah gangsa Putra Brand Awards

KELANA JAYA: UNITAR International University (UNITAR), berjaya meraih anugerah gangsa bagi kategori Pendidikan dan Pembelajaran pada Putra Brand Awards 2018, di sini, baru-baru ini.

Anugerah itu, menjadi yang kedua diperoleh selepas UNITAR menerima anugerah sama tahun 2015. UNITAR adalah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dimiliki dan ditadbir oleh UNITAR Capital Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR Capital Sdn Bhd, Puvan Balachandran berkata, jenama UNITAR yang kukuh dan mampan di pasaran berupaya meningkatkan keyakinan industri untuk mengambil lepasan UNITAR bagi mengisi kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor yang diperlukan.

Beliau berkata, dengan 11 kampus UNITAR yang ada di seluruh negara serta jenama yang diyakini, pihaknya berharap agar lebih ramai rakyat negara ini mengambil peluang melanjutkan pengajian di UNITAR.

Putra Brand Awards adalah acara berprestij bagi anugerah jenama utama di Malaysia yang dimulakan pada 2010.

Anugerah ini dianjurkan Persatuan Ejen Pengiklanan yang Diiktiraf Malaysia (4A) dan disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan sokongan Persatuan Penjenamaan Malaysia, Persatuan Pengiklanan Malaysia dan Persatuan Pakar Media.

Sementara itu, Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Noor Raihan Abd Hamid, berkata konsep pembelajaran berteraskan pengalaman membuatkan universiti ini mempunyai jenama kukuh dan menjadi antara pilihan utama golongan dewasa yang berkerja, khususnya untuk melanjutkan pengajian.

“UNITAR yang mengaplikasikan konsep itu melalui jalinan kerjasama erat dengan industri membuatkan kebolehpasaran graduan lebih tinggi kerana mempunyai kelayakan dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata, anugerah paling berprestij ini akan melonjakkan lagi jenama UNITAR sebagai universiti yang mampu melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia dan mengukuhkan jenama ini di peringkat global.

Anugerah Brand Awards menggunakan kaedah penyelidikan pengguna yang kukuh dibangunkan oleh rakan penyelidikan, merangkumi 6,000 responden bagi menentukan jenama kegemaran Malaysia dalam 23 kategori dengan setiap kategori diberikan emas, perak dan gangsa.

Berita Harian X