Rabu, 31 Oktober 2018 | 3:46pm

Kementerian kecewa aduan guru tidak hadir 7 bulan tidak diendahkan

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan kecewa jika benar dakwaan seorang remaja di Kota Belud, Sabah, mengenai ketidakhadiran seorang guru di sekolahnya selama tujuh bulan tidak diendahkan sebelum ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, kejadian itu berlaku pada 2015 dan pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

“Bagi saya, ia adalah satu peristiwa yang mengecewakan, kalau memang aduan sudah dibuat tetapi perhatian sewajarnya tidak diberikan ke atas aduan itu.

“Kami masih tunggu laporan JPN Sabah kerana ia berlaku tiga tahun lalu, perlu semak bahagian mana yang ada kesilapan dan kesalahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baru Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Selangor di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan NSTP semalam mengenai seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Nafirah Siman, 18, yang memfailkan saman terhadap gurunya, Jainal Jamran kerana didakwa tidak masuk ke kelas dalam tempoh tujuh bulan pada 2015, ketika remaja itu berada di tingkatan empat.

Saman itu difailkan menerusi tetuan Roxana & Co pada 16 Oktober lalu dan beliau turut menamakan Pengetua, Suid Hanapi; pegawai pendidikan daerah Kota Belud, Pengarah JPN Sabah, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam samannya, Nafirah mendakwa Jainal tidak hadir mengajar dari Februari hingga Oktober 2015, kecuali pada satu minggu ketika pegawai dari Kementerian Pendidikan melawat sekolah terbabit.

Sementara itu, Nie Ching berkata, satu mesyuarat khas akan dijalankan dalam masa terdekat bagi membincangkan permasalahan kekurangan guru di negara ini.

“Perlu ada satu unjuran tepat bahawa bakal guru yang kita latih ini seiring dengan guru yang bakal bersara, tidak perlu tempoh lama menunggu bagi mengisi kekosongan itu.

“Saya kecewa dan hairan, isu ini bukan isu baharu, sudah berpuluh tahun tapi tiada jalan penyelesaian, pada peringkat Kementerian Pendidikan, kita tak nafikan masalah kekurangan guru. Jadi, satu mesyuarat akan dijalankan bersama pihak berkaitan untuk menyelesaikan hal ini,” katanya.

35 dibaca
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching merasmikan bangunan baru Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Selangor di Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X