Selasa, 30 Oktober 2018 | 5:25pm
Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (dua dari kiri) menerima replika cek penajaan daripada Presiden Kumpulan MSU dan MSU College, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara NSTP dengan MSU di Balai Berita Bangsar, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (kiri) serta Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik dan Hubungan Antarabangsa MSU, Datuk Rosli Yusof. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

MSU komited jalin kerjasama dengan NSTP

KUALA LUMPUR: Management and Science University (MSU) meneruskan kerjasama dengan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) melalui tajaan berjumlah RM1.9 juta merangkumi Seminar Bimbingan Peperiksaan 2018 peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pemberian biasiswa MSU-BH kepada 117 pelajar terpilih.

Presiden Kumpulan MSU dan MSU College, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata kerjasama pihaknya dengan NSTP dan BH sejak 20 tahun lalu mampu melonjakkan sektor pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, pendidikan adalah sektor yang paling kritikal terutama untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi serta kompeten.

“Kami (MSU) melihat akses kepada pendidikan ini adalah sangat penting, justeru kami sentiasa memberikan tajaan seperti biasiswa kepada pelajar, walaupun jumlahnya kecil tetapi dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan tinggi di negara ini.

“Saya berasa bangga dengan komitmen ditunjukkan NSTP dan BH terhadap memperkasa bidang pendidikan di negara ini, malah, percaya kerjasama antara kedua-dua pihak dapat memajukan lagi sektor pendidikan negara pada masa akan datang,” katanya.


Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) NSTP dan MSU di Balai Berita NSTP, di sini, hari ini.

Pada majlis perjanjian itu, MSU diwakili Mohd Shukri dan Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik dan Hubungan Antarabangsa MSU, Datuk Rosli Yusof, manakala, NSTP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid serta Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, seramai 1,700 pelajar mendapat manfaat menerusi Seminar SPM MSU-BH Skor membabitkan lima lokasi di seluruh negara, tahun ini.

Katanya, usaha murni itu wajar menjadi contoh kepada organisasi korporat lain terutama bagi melahirkan lebih ramai golongan pelajar serta pendidik berinovasi demi membina generasi berpotensi untuk masa depan negara.

“Saya yakin dengan terjalinnya hubungan erat begitu lama antara NSTP dan MSU ini, lebih banyak program pendidikan dapat dirancang serta dilaksana, sekali gus memastikan kecemerlangan pendidikan anak bangsa ke peringkat lebih tinggi.

“NSTP juga memperkenalkan FullAMark, sebuah portal pendidikan interaktif yang dilancarkan untuk membantu mempertingkatkan prestasi pelajar melalui elemen penting seperti nota, latihan, contoh ujian dan peperiksaan mengikut silibus Kementerian Pendidikan (KPM), di samping menepati piawaian ditetapkan,” katanya.

Info

Kerjasama MSU-BH

* Mula terjalin sejak 1998 menerusi penganjuran Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM

* Lebih 300,000 pelajar menyertai Seminar SPM BH Skor tajaan MSU sejak 2004

* Lima lokasi Seminar SPM BH Skor 2018 ialah Kemaman, Terengganu; Muar, Johor; Alor Gajah, Melaka, Gerik dan Tapah, Perak

Berita Harian X