Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:29pm
RAJA PERMAISURI PERAK, Tuanku Zara Salim mencemar duli pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris ke-20 di Dewan Tuanku Canselor UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Institusi pendidikan perlu merintis langkah strategik

TANJUNG MALIM: Institusi pendidikan perlu segera merintis langkah strategik supaya berperanan efektif, merangka penyelesaian lestari dalam membangunkan modal insan untuk memenuhi keperluan sumber manusia masa hadapan.

Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tuanku Zara Salim, bertitah Forum Ekonomi Sedunia mengunjurkan akan berlaku perubahan besar dalam pekerjaan global.

Baginda bertitah, modal insan perlu menguasai kemahiran dan memiliki pengetahuan baharu lagi berbeza.

“Kegagalan melakukan adaptasi terhadap teknologi baharu akan menyaksikan hampir 10 juta pekerjaan hilang menjelang tahun 2020.

“Kehilangan terbesar pekerjaan dijangka berlaku dalam jawatan kolar putih dan pentadbiran, justeru menuntut institusi kerajaan, swasta dan pendidikan mengambil langkah segera,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-20 di Kampus Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 5,644 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing merangkumi 92 ijazah doktor falsafah, 1,149 ijazah sarjana, 2,935 ijazah sarjana muda, 336 diploma pendidikan lepasan ijazah dan 1,132 diploma.

Konvokesyen itu turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan kepada Tan Sri Dr Halili Dolhan dan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

Tuanku Zara bertitah, penyediaan bekalan modal insan yang bersesuaian adalah perlu untuk mengelakkan daripada berlakunya kadar pengangguran yang tinggi.

Titahnya, pada masa sama, 2.1 juta pekerjaan baharu dijangka diwujudkan dalam bidang komputer, matematik, seni bina dan kejuruteraan. Pertambahan paling banyak diramalkan berlaku di negara Asia Tenggara.

“Forum Ekonomi Sedunia juga menggariskan 10 kemahiran yang diperlukan menjelang 2020 terdiri daripada penyelesaian masalah kompleks, pemikiran kritikal, kreativiti, pengurusan manusia, koordinasi, kepintaran emosi, membuat keputusan dan penilaian, orientasi perkhidmatan, perundingan dan keanjalan kognitif,” titahnya.

49 dibaca
Berita Harian X