Selasa, 2 Oktober 2018 | 3:14pm
ANUAR (tengah) sambil diperhatuksn Zulkifli (lima dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian murid Tahun 6 SK Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada Majlis Penyampaian Sijil Tahun 6 dan Prasekolah sekolah berkenaan di UPM, sebentar tadi.

SK Seksyen 7 anjur majlis graduasi Tahun 6

SERDANG: Penganjuran majlis graduasi bagi murid Tahun Enam mampu memberi dorongan kepada murid bukan sahaja untuk melakar kecemerlangan dalam akademik, tetapi juga dalam setiap perkara yang dilakukan.

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia (UPM), Anuar Ahmad, berkata program seumpama itu dapat menggalakkan murid untuk mengejar cita-cita, selain meneruskan persekolahan ke peringkat lebih tinggi terutama jika diadakan di institusi pengajian tinggi.

"Pengiktirafan ini diharap dapat memberi motivasi kepada pelajar yang bakal menamatkan persekolahan peringkat rendah untuk terus melanjutkan pengajian sehingga ke menara gading.

"Tahniah juga kepada ibu bapa yang hadir memberikan sokongan kepada anak, semoga pembabitan ibu bapa ini dapat mendorong murid untuk terus cemerlang," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di Universiti Pitra Malaysia, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Guru Besar SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, Zulkifli Mohd Tahir; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seksyen 7, Datuk A Halim Paiman; dan Penyelaras Tahun 6 sekolah terbabit, Noraisah Sulaiman.

Pada majlis itu, sebahagian daripada 423 murid Tahun Enam menerima sijil tamat sekolah rendah. Majlis itu turut menyaksikan seramai 50 murid prasekolah menerima sijil masing-masing.

SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi adalah rakan sekolah BH yang setia melanggan Didik dan juga tersenarai antara sekolah terbaik di Selangor berdasarkan pencapaian akademik.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya berharap murid-murid sentiasa menghargai jasa guru dan ibu bapa yang banyak berkorban masa serta tenaga bagi memastikan mereka memperoleh kecemerlangan dalam hidup.

"Terima kasih diucapkan kepada guru-guru yang komited dalam mendidik murid untuk menjadi insan seimbang dan cemerlang, begitu juga ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

"Kepada murid-murid, ingatlah perjalanan masih jauh untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, justeru setiap murid perlu berusaha untuk mencapai impian dan cita-cita anda," katanya.

114 dibaca
Berita Harian X