Rabu, 12 September 2018 | 7:23pm
PENGARAH IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

60 pasukan sertai debat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 pasukan debat mewakili institusi pendidikan tinggi dan Maahad Tahfiz akan berentap dalam Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) ke-5 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), di sini pada 12 hingga 15 Oktober ini.

Pertandingan sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) dan Bulan Bahasa Kebangsaan 2018 menampilkan format perdebatan ala Parlimen British itu terbuka kepada pelajar universiti awam (UA), universiti swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej matrikulasi, Politeknik, Maahad Tahfiz dan institut pendidikan lain yang berusia 18 hingga 21 tahun.

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata debat berbahasa Melayu berkenaan menampilkan tema pendidikan dan alam sekitar sebagai usul perdebatan sepanjang DeTIK 2018.

Katanya, perbahasan memfokuskan isu berkenaan dari persepsi generasi muda ke arah kelestarian alam sekitar untuk diwarisi generasi masa depan.

“Idea dan perbahasan lebih berimpak tinggi apabila hujah secara beretika, berkarisma dan bersifat mendidik, sekali gus memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

DeTIK kali ini anjuran IPGKIK dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Teknologi Pendidikan, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Aktivis Debat IPG Malaysia (ADIM).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dijangka merasmi dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Keterangan lanjut boleh diperoleh menerusi sekretariat penganjur, Dr Isnariah Idris di talian 013-3388788 dan laman sesawang https://detikipik.wordpress.com/.

Mohd Suhaimi berkata, juara bertahan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penyandang juara 2016, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijangkakan akan mengambil bahagian.

“Berdasarkan laporan jemaah hakim tahun lalu, mutu perbahasan meningkat dari semasa ke semasa dan kali ini kami menjangkakan persaingan untuk merebut kejuaraan bertambah sengit,” katanya.

Berita Harian X