Jumaat, 7 September 2018 | 12:28pm
TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusof. - Foto ihsan UMP

RM132 juta laksana pembangunan inovasi di UMP

PEKAN: Kira-kira RM132 juta peruntukan disalurkan bagi membantu penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) membangunkan inovasi di peringkat awal sebelum dikomersilkan di pasaran terbuka.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusof, berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM47 juta yang diperuntukkan dalam tempoh 16 tahun iaitu sejak penubuhan universiti itu adalah daripada dana universiti berkenaan.

Katanya, peruntukan daripada UMP itu adalah untuk melaksanakan 178 projek pembangunan inovasi di peringkat awal manakala RM84 juta lagi disalurkan agensi kerajaan bagi membangunkan 712 projek penyelidikan.

“Antara kementerian yang menyalurkan dana berkenaan ialah Kementerian Pendidikan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (kini dikenali Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Peruntukan itu adalah untuk memulakan projek termasuk aspek perniagaan dan sekarang kita mahu memfokuskan bagaimana untuk mara lebih jauh bagi mengkomersilkannya di pasaran.

“Kita juga kita mendapat kepercayaan daripada agensi luar untuk membuat penyelidikan,” katanya ketika ditemui NSTP di UMP Kampus Pekan, dekat sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, pihak pentadbiran UMP sentiasa menggalakkan pensyarah dan pelajarnya untuk lebih giat membangunkan inovasi selaras dengan statusnya sebagai universiti berasaskan teknologi.

“Paling penting adalah inovasi berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat... ada beberapa contoh produk berjaya membantu orang ramai seperti Pisoptera iaitu umpan anai-anai dihasilkan menggunakan bahan semula jadi.

“Ia turut mendapat Anugerah Inovasi Negara pada 2017 dan memenangi anugerah khas seperti produk mesra alam, inovasi berkenaan mendapat sambutan dan mencipta pasaran lain pula... ia satu perkembangan positif,” katanya.

Beliau juga berkata, inovasi lain memberi kesan positif kepada masyarakat adalah Biofeedback yang membantu mengatasi masalah pelajar tidak berdisiplin serta bekas penagih menerusi kaedah unik yang membawa kepada pengawalan diri seseorang.

“UMP juga ada membangunkan mesin memotong daun mengkuang dengan tepat yang memudahkan masyarakat Orang Asli di Chini, Pekan membuat anyaman, produktiviti dapat ditingkatkan.

“Kesan positif ini adalah selaras dengan slogan kita untuk memasyarakatkan teknologi iaitu membantu kehidupan orang ramai menerusi pelbagai inovasi dilaksanakan UMP,” katanya.

13 dibaca
Berita Harian X