Khamis, 30 Ogos 2018 | 1:47pm
TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin (kiri) dan pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP, Dr Munira Abdul Razak menunjukkan hadir pada pra pelancaran ADAM di UMP Kampus Pekan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

UMP hasil inovasi pupuk perpaduan etnik, patriotisme

PEKAN: Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) membangunkan inovasi produk pengurusan kepelbagaian dikenali ADAM untuk membantu mengukuhkan perpaduan antara etnik, patriotisme dan nilai jati diri.

Inovasi berkenaan dibangunkan pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP, Dr Munira Abdul Razak serta tujuh pelajar Fakulti Kimia, Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Munira berkata, ADAM adalah singkatan kepada Autentik, Dinamik, Altruistik dan Manusia di mana kajian untuk menghasilkannya dilakukan sejak 2007 menerusi pembelajaran dalam kalangan pelajar kejuruteraan.

Katanya, kajian dilakukan untuk melihat sejauh mana pelajar kejuruteraan boleh memahami modul hubungan etnik yang mempunyai stigma kurang meminati subjek Sains Sosial.

“Kita melalui pelbagai proses termasuk menerbitkan video dan aplikasi yang didapati mudah untuk difahami pelajar.

“Ia menggabungkan dua elemen utama iaitu autentik dan altruistik dalam menjamin kualiti perkhidmatan berorientasikan aplikasi akademik, e-latihan serta gamifikasi bertepatan dengan aspirasi UMP iaitu ‘Memasyarakatkan Teknologi’ serta kehendak Industri dan Pendidikan 4.0,” katanya ketika ditemui selepas pra pelancaran ADAM di UMP Kampus Pekan di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin yang turut merasmikan majlis sambutan bulan kemerdekaan peringkat UMP.

Mengulas lanjut, Munira berkata, produk yang bakal dilancarkan pada 21 Oktober ini akan dipasarkan menerusi D.N.A Resources Sdn Bhd dan sudah ada pihak menyatakan minat untuk menggunakan modul berkenaan.

“Malah ia turut mendapat pengiktirafan Institut Keusahawanan Negara (INSKREN) yang menganugerahkan kita geran dalam bentuk latihan selepas melihat potensinya untuk dipasarkan.

“Boleh dikatakan UMP adalah universiti pertama membangunkan inovasi yang mampu membantu meningkatkan patriotisme dan nilai jati diri mengikut acuan tempatan yang penting dalam membangunkan negara pada masa depan,” katanya.

33 dibaca
Berita Harian X