Sabtu, 7 Julai 2018 | 6:42pm
PRESIDEN Kumpulan MSU College dan Management and Science University(MSU), Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid (tengah) berbual bersama peneriman anugerah selepas Majlis Graduasi ke 22 Management and Science University(MSU) College di Dewan Canselor MSU. - Foto Roslin Mat Tahir

MSU College kukuhkan program TVET

SHAH ALAM: MSU College akan memperkasakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduannya.

Presiden Kumpulan MSU College dan MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kursus yang ditawarkan adalah program TVET, manakala 50 peratus untuk akademik.

"Saya berbangga dan gembira melihat prestasi graduan di MSU College terutama dalam industri yang kini hampir sama dengan kampus utama (MSU), sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

"Justeru, memperkasakan TVET akan menjadi kunci strategik kepada MSU College dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi ke-22, Kumpulan MSU College, di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata, dasar program pemadanan pekerjaan diwujudkan untuk memastikan semua graduan mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran dimiliki.

Katanya, MSU College akan menjalankan program mobiliti seperti dilakukan MSU iaitu menggalakkan pelajar berpindah sekurang-kurang ke kampus utama atau luar negara.

Dalam pada itu, seramai 922 graduan menerima diploma dan sijil membabitkan 22 bidang pengajian iaitu 761 graduan diploma serta 161 graduan sijil.

Turut hadir adalah Pengerusi Kumpulan MSU College dan Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin.

Empat kategori khas kecemerlangan turut diberi kepada graduan cemerlang iaitu Anugerah Emas Presiden, Anugerah Mohd Shukri Yajid, Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

Penerima Anugerah Emas Presiden, Leonie Vitalis Lotius, gembira menerima anugerah utama pada majlis graduasi.

"Saya percaya jika kita berdisiplin dalam pembelajaran seperti fokus dalam kelas serta menghantar tugasan yang diberikan tepat pada masanya, kita akan berjaya," katanya.

Berita Harian X