Isnin, 11 Jun 2018 | 10:37pm
PASANGAN kembar, Norizah Hendri (kiri) dan Norazah Hendri hadir pada temuduga untuk kemasukan program pengajian ijazah sarjana muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). - Foto ihsan UPSI

Pasangan kembar berterima kasih dengan UPSI

TANJUNG MALIM : Dua calon pasangan kembar terharu dan berterima kasih kepada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana membenarkan tarikh temuduga mereka bagi permohonan mengikuti program pengajian ijazah sarjana muda ambilan September ini, ditunda ke hari ini.

Norizah Hendri, 20, dan kembarnya, Norazah, dari Senai, Johor sepatutnya menjalani sesi temuduga kemasukan ke UPSI pada 4 dan 5 Jun lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat berbuat demikian selepas bas ekspres dinaiki untuk pergi ke UPSI terbabit dalam kemalangan di Kilometer 142.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Pagoh, pada 3 Jun lalu.

Kemalangan pada jam 1.15 tengah hari itu menyebabkan pemandu bas berkenaan dan dua penumpang maut.

Norizah antara 22 penumpang bas berkenaan yang cedera ringan.

Dia cedera pada mulut, manakala Norazah tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selain sesi temuduga di Bangunan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Norizah yang memilih program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani, turut menjalani sesi ujian khas sukan di Arena Kompleks Sukan, Kampus Sultan Azlan Shah.

Norazah pula hanya mengikuti sesi temuduga sahaja kerana memilih program pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu.

Norazah berkata, dia dan kembarnya mengucapkan terima kasih kepada pihak UPSI yang prihatin terhadap kejadian menimpa mereka.

"Kami hadir kali ini dengan menumpang kereta seorang rakan yang kebetulan (temuduga) pada hari yang sama hari ini," katanya yang berharap mereka diterima masuk di UPSI.

Beliau mengakui mengalami sedikit kesakitan pada dagunya yang cedera dalam kemalangan lalu ketika menjalani ujian jasmani hari ini.

Berita Harian X