Rabu, 23 Mei 2018 | 3:39pm
NAIB Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad (dua kanan) merasmikan Pelancaran Bayar Tanpa Tunai dengan Boost di USIM. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

USIM lancar projek Kampus Tanpa Tunai

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan projek Kampus Tanpa Tunai, malam tadi, bagi mendidik warganya ke arah gaya hidup digital.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, berkata pelaksanaan projek itu selaras usaha menjadikan universiti awam (UA) kampus digital.

Melalui projek itu, katanya, warga USIM yang mahu menggunakan kemudahan berkenaan, akan memuat turun aplikasi e-Wallet Boost pada telefon pintar masing-masing.

"Mereka hanya perlu melakukan imbasan menerusi kod maklum balas pantas (QR Code) di aplikasi itu sebelum membuat sebarang pembayaran secara digital.

"Bagi fasa pertama projek ini bermula April lalu hingga bulan depan, kita memfokus kepada cara penggunaan aplikasi itu. Warga USIM boleh menggunakan kaedah pembayaran itu di ruang niaga, kafeteria dan koperasi di dalam kampus.

"Melalui fasa kedua pada Julai depan pula, kita akan menerapkan pembayaran digital di USIM seperti untuk denda, yuran pengajian dan saman," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bayar Tanpa Tunai dengan Boost di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; dan Ketua Projek Kampus Tanpa Tunai, Datuk Mohd Abd Rasid Mohd Fadzil.

Musa berkata, pengenalan kaedah pembayaran tanpa tunai itu memudahkan warga USIM, termasuk tidak perlu lagi beratur mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM).

Berita Harian X