Isnin, 23 April 2018 | 3:52pm
NAIB Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin, berucap ketika melancarkan program MyKad SmartShopper Koperasi SMK Bukit Jelutong Shah Alam Berhad di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong di Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan I Synergy Limited, Datuk Lawrence Teo (dua, kanan), bersama Naib Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin (dua, kiri); Pegawai Pendidikan Daerah, Petaling Perdana, Abdul Ghaffar Bakar (kanan), menyampaikan sijil agen MSS kepada Pengetua SMK Bukit Jelutong, Badariatul Jamal Mohd Hasnan pada pelancaran program MyKad SmartShopper Koperasi SMK Bukit Jelutong Shah Alam Berhad di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

ANGKASA tarik koperasi sekolah sertai MSS

SHAH ALAM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada kira-kira 2,388 koperasi sekolah menengah di negara ini mengambil bahagian dalam Program MyKad Smart Shopper (MSS), tahun ini.

Naib Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin, berkata bagi merealisasikan sasaran itu, peranan pengetua selaku pengerusi koperasi sekolah penting terutama bagi membantu badan koperasi masing-masing menambahkan perolehan pendapatan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan berterusan seperti mendapatkan rekod data berkaitan perolehan daripada koperasi sekolah, selain turut melaksanakan penambahbaikan secara menyeluruh.

"Kami berharap agar lebih banyak koperasi sekolah mengikuti program ini kerana banyak kemudahan yang ditawarkan kepada setiap ahli berdaftar dan ini membolehkan mereka (sekolah) meningkatkan lagi keuntungan menerusi koperasi.

"Kalau dilihat penggunaan wang kertas kini adalah sedikit berkurang, malah melalui MSS ini, keyakinan ibu bapa dapat ditingkatkan kerana pembelian dibuat secara atas talian, pada masa sama, berupaya mengekang masalah keselamatan duit seperti hilang ataupun tercicir.

"Program ini mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor koperasi dan ini selari dengan hasrat kerajaan yang mana sektor koperasi adalah penyumbang ketiga selepas sektor awam dan swasta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran MyKad SmartShopper Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong Shah Alam Berhad di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Abdul Ghaffar Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan I Synergy Limited, Datuk Lawrence Teo dan Pengetua SMK Bukit Jelutong, Badariatul Jamal Mohd Hasnan.

Sementara itu, Teo berkata, program MSS itu adalah program affiliate yang direka khas untuk mengaplikasikan MyKad dalam mempromosi industri peruncitan di negara ini.

Katanya, program ini membuktikan iltizam dan komitmen antara kedua-dua organisasi (I Synergy dan ANGKASA) bagi membantu meningkatkan lagi kecemerlangan koperasi sekolah di tahap terbaik.

"Program ini adalah berdasarkan kitaran pemasaran di antara tiga pihak iaitu affiliate, peniaga dan pengguna yang mana affiliate akan menggalakkan pengguna berdaftar sebagai ahli MSS untuk membuat perbelanjaan di kedai yang mengambil bahagian.

"Setiap pembelian akan memberikan ganjaran cash point dan reward point yang boleh ditebus guna untuk mendapatkan barangan serta hadiah menarik, malah, penjimatan MSS ini juga boleh dinikmati secara dalam talian dengan adanya MSS online," katanya.

MyKad Smart Shopper diuruskan sepenuhnya I Synergy Rewards Sdn Bhd dan pemegang kad berdaftar juga berpeluang menikmati keistimewaan di semua outlet peniaga yang terbabit dalam program ini.

Berita Harian X