Khamis, 15 March 2018 | 5:58pm
PENGETUA, Kamisah Aziz bergambar dengan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
AHMAD Ibraheem Abu Bakar (kiri) meraikan kejayaan bersama ibunya Karimah Harun (tengah) dan ayahnya, Abu Bakar Mohamad selepas mendapat keputusan 11 A+ dalam keputusan SPM di Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari, Subang Jaya. -Foto Syarafiq Abd Samad

Sekolah langgan Skor catat keputusan cemerlang

KUALA LUMPUR: Sekolah yang melanggan Skor, sisipan pendidikan BH khusus untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus mencatat keputusan cemerlang apabila tersenarai antara 10 sekolah terbaik peringkat kebangsaan bagi SPM 2017.

Sekolah terbaik SPM peringkat kebangsaan, Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru antara yang memanfaatkan BH berjaya mencatat gred purata sekolah (GPS) sebanyak 1.109.

Satu lagi Rakan Sekolah BH yang mencatat pencapaian cemerlang dalam SPM ialah sekolah terbaik Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir (SASER), Seremban dengan GPS sebanyak 1.26, sekali gus berada dalam senarai kedua terbaik kebangsaan.

Dua lagi sekolah yang tersenarai dalam 10 terbaik kebangsaan dan melanggan BH ialah Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur (1.59) dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya (1.74).

Dua sekolah yang bekerjasama dengan BH bagi menganjurkan Seminar Bimbingan Peperiksaan BH iaitu Kolej Tunku Kursiah (TKC), Seremban dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak juga menunjukkan keputusan cemerlang dalam SPM 2017 apabila tersenarai dalam 10 sekolah terbaik kategori sekolah berasrama penuh (SBP).

Sementara itu, beberapa sekolah menengah harian yang juga memanfaatkan sisipan Skor turut menunjukkan peningkatan khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris dan Matematik.

Antaranya, Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari, Subang Jaya, Selangor yang memperoleh GPS 2.11 pada SPM 2017 berbanding 2.30 pada SPM 2016 sekali gus menduduki tangga teratas bagi sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana.

Seorang pelajar berjaya mendapat keputusan 11A+, manakala 17 pelajar lagi mendapat 11A, 10A (22), 9A (18), 8A(21), 7A (25) dan 6A (22).

Pengetuanya, Nadzarah Mahmud, berkata gred purata mata pelajaran (GPMP) turut menunjukkan peningkatan terutama bagi subjek Matematik, Pendidikan Quran dan Sunnah serta Prinsip Perakaunan.

"Penggunaan akhbar terutama sisipan Skor turut digunakan sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Saya percaya penggunaan akhbar sebagai bahan bantu mengajar (BBM) serta beberapa program akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah menjadi antara faktor peningkatan GPS pada kali ini," katanya.

Satu lagi sekolah yang melanggan BH sejak 12 tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian SPM 2017 apabila memperoleh GPS 3.06 berbanding 3.16 pada SPM 2016. 

Pengetuanya, Kamarul Ariffin Mohd Sharif, berkata calon SPM sekolah itu bukan saja menggunakan sisipan Skor sebagai bahan untuk menambah ilmu bagi isu semasa tetapi turut menggunakan akhbar BH sebagai BBM di dalam kelas.

"Peningkatan ketara yang dapat dilihat adalah pada mata pelajaran Bahasa Melayu apabila mencatatkan GPMP 1.20 berbanding 2.42 pada SPM 2016.

"Selain program akademik sepanjang tahun, kita yakin keberkesanan bahan akademik dalam sisipan Skor yang menepati format peperiksaan membantu pelajar membiasakan diri menjawab soalan peperiksaan sekali gus menyumbang kepada peningkatan GPS pada SPM 2017," katanya.  

 

INFO

Sekolah terbaik SPM 2017

1. Sekolah Tun Fatimah (1.109)

2. Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir (SASER) (1.26)

3. Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka (1.266)

Berita Harian X