Ahad, 21 Januari 2018 | 3:06pm

Eco World rai pelajar cemerlang UPSR, PT3 Zon Tengah

 

KUALA LUMPUR: Seramai 38 pelajar cemerlang peperiksaan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2017 Zon Tengah, diraikan Yayasan Eco World dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR & PT3 2017.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata anugerah tahunan ini diadakan bagi menggalakkan pelajar untuk terus berusaha keras dalam pelajaran.

Beliau berkata, ia juga sebagai usaha yayasan untuk terus membantu dan menyokong pelajar yang memerlukan demi mencapai impian bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga ke universiti.

"Uniknya, Yayasan Eco World menyediakan bantuan dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti berbanding yayasan lain yang hanya menyediakan biasiswa kepada pelajar universiti.

"Ini adalah usaha Eco World sebagai sektor korporat dan swasta untuk membantu dalam pembinaan negara dalam melahirkan modal insan yang berjaya di setiap peringkat," katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan di Galeri Jualan Bukit Bintang City Centre, di sini

Pada majlis itu, murid cemerlang UPSR menerima hadiah wang tunai di antara RM100 hingga RM200 mengikut kategori bersama hadiah iringan, manakala pelajar cemerlang PT3 menerima di antara RM250 hingga RM500 mengikut kategori.

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Puchong dipilih sebagai sekolah terbaik untuk menerima hadiah wang tunai RM10,000 manakala seramai lapan guru menerima anugerah diatas komitmen dan dedikasi terhadap Program Bantuan Pelajar (SAP) dan pembabitan dalam program yang dianjurkan Yayasan Eco World.

Lam Thye berkata, Yayasan Eco World bukan saja mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan tapi juga menitik beratkan pembentukan watak seseorang pelajar.

"Hanya dengan perwatakan baik, sesebuah masyarakat dan negara dapat maju dan berkekalan.

"Yayasan Eco World menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Kem Kecemerlangan UPSR, Seminar Kerjaya, dialog bersama ibu bapa dan perjumpaan dengan pelajar tingkatan dua untuk memupuk sikap dan tingkah laku pelajar," katanya.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Eco World, Philip Mathew; Pengarah Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Voon Tin Yow dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Chang Khim Wah.

TAN Sri Lee Lam Thye (duduk tengah) bersama sebahagian murid-murid yang menerima anugerah kecemerlangan UPSR & PT 3 sekitar Selangor, Kuala Lumpur & Pahang (Zon Tengah). Program bantuan pelajar Eco World berlangsung di Bukit Bintang City Centre. - Foto Khairul Azhar Ahmad
TAN Sri Lee Lam Thye (belakang tengah) bersama sebahagian murid-murid yang menerima anugerah kecemerlangan UPSR & PT 3 sekitar Selangor, Kuala Lumpur & Pahang (Zon Tengah). Program bantuan pelajar Eco World berlangsung di Bukit Bintang City Centre. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Berita Harian X