Rabu, 27 Disember 2017 | 7:20pm
PASUKAN Pancaragam Sekolah Tun Fatimah (STF) yang terdiri daripada 58 pelajar bergambar sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyertai Pertandingan Grand Prix Marching Band Kali Ke-23. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Guru Penasihat Pasukan Pancaragam STF, Reeza Haida Miskam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pasukan Pancaragam STF sasar pingat emas

SEPANG: Pasukan Pancaragam Sekolah Tun Fatimah (STF) menyasarkan pingat emas bagi Pertandingan Grand Prix Marching Band Kali Ke-23 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, Jumaat ini.

Ketua Guru Penasihat Pasukan Pancaragam STF, Reeza Haida Miskam, berkata pihaknya berbangga kerana pasukan terdiri daripada 58 pelajar itu adalah satu-satunya wakil Malaysia yang menyertai pertandingan terbabit.

"Ini adalah penyertaan kali pertama STF dalam pertandingan peringkat antarabangsa di luar Malaysia, sekali gus menjadikannya pencapaian terbaik setakat ini.

"Harapan kami sangat tinggi untuk mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul pingat emas dan menjuarai pertandingan ini, terima kasih atas sumbangan selain sokongan pelbagai pihak, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni STF.

"Tanpa bantuan mereka mungkin sukar untuk kami sampai ke tahap ini," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini sejurus sebelum berlepas ke Jakarta.

Pertandingan Grand Prix Marching Band Kali Ke-23 selama dua hari itu turut disertai 16 kumpulan pancaragam lain dari Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Pasukan Pancaragam STF, Esty Farrah Musa, berkata kumpulan berkenaan yang merangkumi pelajar tingkatan satu hingga lima sudah membuat persiapan untuk pertandingan itu sejak enam bulan lalu.

"Bertemakan 'Spirit of Asia', kumpulan ini akan mempromosikan negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, China dan Jepun menerusi orkestra serta pancaragam mereka.

"Keistimewaan kumpulan ini adalah mereka akan membuat persembahan orkestra dan pancaragam, di mana bukan semua kumpulan bertanding ada kelainan seumpama itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Pancaragam STF, Ainaa Nabeehah Ahmad, 17, berkata sesi latihan tidak sedikit pun mengganggu kegiatan dan tumpuan dalam akademik kerana mereka akan berlatih bersama-sama selepas tamat sesi persekolahan.

"Malah, kami sanggup balik awal iaitu sebelum cuti persekolahan tamat untuk berlatih bagi menyertai pertandingan ini," katanya.

34 dibaca
Berita Harian X