Sabtu, 16 Disember 2017 | 3:37pm
Sebahagian murid SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi bersama dengan PIBG gembira menerima sumbangan pakaian sekolah pada majlis bantuan sekolah PIBG SK Seksyen 7 di Uniform Gallery. - Foto Saifulizam Tamadi
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seksyen 7, Datuk A. Halim Paiman (tengah) membantu murid SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi memilih pakaian sekolah pada majlis bantuan sekolah PIBG SK Seksyen 7 di Uniform Gallery. - Foto Saifulizam Tamadi

120 murid SK Seksyen 7 terima set kelengkapan ke sekolah

BANGI: Seramai 120 murid kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, di sini, menerima sumbangan set kelengkapan persekolahan termasuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk A Halim Paiman, berkata sumbangan yang disampaikan menerusi program Kembali ke Sekolah itu diharap dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.

"Kesemua penerima bantuan terdiri daripada murid Tahun Satu hingga Enam yang keluarganya berpendapatan isi rumah bawah RM2,500 sebulan, termasuk kalangan asnaf, yatim dan dibesarkan oleh ibu tunggal.


Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seksyen 7, Datuk A. Halim Paiman (kiri) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada murid SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada majlis bantuan sekolah PIBG SK Seksyen 7 di Uniform Gallery. - Foto Saifulizam Tamadi

"Kami harap peruntukan kira-kira RM120 seorang ini dapat melancarkan persiapan awal persekolahan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan di sini, sebentar tadi.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu dianjurkan kali ketiga sejak 2015.

Sementara itu, ibu kepada penerima bantuan, Nor Zalhim Azlin Ibrahim, 43, berkata beliau bersyukur kerana anaknya terpilih menerima bantuan, sekali gus dapat mengurangkan kos persediaan persekolahan.

"Terima kasih kepada pihak PIBG sekolah yang sudi menghulurkan bantuan kerana saya ada tiga lagi anak yang masih bersekolah. Jadi, belanja persekolahan yang perlu dikeluarkan sangat mahal," katanya.

INFO: Program Kembali ke Sekolah SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi

  • Dianjurkan kali ketiga.
  • Sumbangan diterima daripada beberapa syarikat korporat dan ahli PIBG.
  • Pemilihan penerima bantuan dilakukan berdasarkan rekod sekolah.
  • SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi adalah pelanggan setia akhbar BH yang memanfaatkan sisipan pendidikan Didik dalam pengajaran dan pemudahcaraan setiap minggu.

Berita Harian X