Isnin, 20 November 2017 | 6:55pm
MAHDZIR bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan sijil dan anugerah pada Majlis Penutup Kejuaraan Robotik Dunia Peringkat Kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Jangan hanya rai pelajar dapat 6A UPSR - Mahdzir

KUALA LUMPUR:  Pihak sekolah perlu meraikan semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Khamis ini, bukan hanya tertumpu kepada murid memperoleh semua A.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata segala usaha dilakukan murid dan guru perlu diraikan secara keseluruhannya, bukan secara terpilih atau berkumpulan.

Katanya, UPSR hanya permulaan dan selepas ini mereka akan menduduki peperiksaan lebih besar termasuk Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, mendidik tidak dilihat dalam tempoh singkat, sebaliknya ia perjalanan panjang ke arah kemenjadian murid secara holistik bukan saja pentaksiran akademik tetapi mencakupi tahap berfikir aras tinggi, psikometrik, kurikulum dan sukan.

"Sempena keputusan UPSR yang diumumkan Khamis ini, janganlah dibebani kudrat guru dan perasaan murid dengan meraikan murid yang mendapat 6A saja.

"Tidak perlu guru bertungkus-lumus mengadakan majlis khas mengumumkan beberapa murid yang cemerlang akademiknya untuk naik ke pentas.

"Fikirkan juga ratusan calon UPSR lain hanya memerhatikan rakan diraikan mungkin dengan perasaan diri mereka tidak berharga. Bukan saya menghalang majlis meraikan calon merangkul 6A, tetapi kalau boleh elok jangan buat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan Kejuaraan Robotik Dunia Peringkat Kebangsaan anjuran World of Robotics Sdn Bhd di Asia Pasific University of Technology and Innovation di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Seramai 443,794 calon menduduki UPSR tahun ini membabitkan 8,085 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Dalam pada itu, seramai 550 peserta menyertai Kejuaraan Robotik Dunia Peringkat Kebangsaan yang berlangsung tiga hari sejak Sabtu lalu membabitkan 90 sekolah.

 

Mahdzir berkata, pertandingan itu bertepatan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggalakkan penyertaan agensi swasta memajukan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)

Ditanya kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa sekolah aliran Inggeris perlu diwujudkan semula bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, beliau enggan mengulas lanjut.

"Setakat ini, saya belum mahu mengulas cadangan berkenaan," katanya.

Berita Harian X