Sabtu, 18 November 2017 | 7:00am
MASTURA (kiri) bersama tiga anak Muhamad Khairil Azaha dan Nurul Wahieda membeli buku di Kuantan.

PTPTN bantu pendidikan anak, galak ibu bapa menabung

BUKIT MERTAJAM: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tanggungjawab menyara keluarga yang tidak dapat dilakukan Idros Ishak, 48, sejak terlantar sakit empat tahun lalu, kini beralih kepada isterinya, Monaliza Abu Yazid, 48.

Beliau bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Bukit Mertajam di sini, dengan pendapatan RM1,000 sebulan bagi menampung kehidupan bersama tujuh anak.

Monaliza berkata, kehidupan keluarganya mula diduga apabila Idros diberhentikan kerja sebagai pembantu jurutera di sebuah kilang pada 2013, kerana kerap mengambil cuti sakit.

"Suami kerap demam panas dan terpaksa mengambil cuti. Namun, tidak disangka ia petanda kepada pelbagai penyakit dihidapinya sekarang.

"Sebaik berhenti kerja, doktor mengesahkannya menghidap penyakit kencing manis, buah pinggang, darah tinggi dan sakit jantung. Ia menyebabkan suami tidak mampu bekerja menyara keluarga," katanya ditemui di rumahnya di Taman Alma Jaya di sini, baru-baru ini.

Monaliza berkata, kehidupan mereka sekali lagi ditimpa malang apabila dia dan Idros kemalangan jalan raya akhir tahun lalu, menyebabkan suaminya tidak mampu berjalan sendiri, selain dirinya perlu menerima rawatan susulan serta tidak mampu melakukan kerja berat.

Beliau berkata, kehidupan mereka sekeluarga banyak dibantu beberapa pihak, terutama apabila dua anaknya ditawarkan biasiswa kerajaan, selain bantuan perubatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) dan wang bulanan RM400 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


ABDUL Ghaffar (kanan) membantu membuka akaun SSPN-i Plus kepada lima anak Monaliza (tiga dari kanan) di kaunter PTPTN di Bukit Mertajam.

PTPTN bantu buka akaun 5 anak

Terbaru, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) kepada lima anak Monaliza berumur lima hingga 17 tahun, dengan jumlah keseluruhan RM9,000.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diharap dapat meringankan beban Monaliza, selain sebagai pendorong kepada anak berjaya dalam pelajaran.

"Pendidikan amat penting dan anak ini harus berjaya supaya dapat mengubah nasib mereka. PTPTN akan terus membantu golongan kurang bernasib baik demi masa depan lebih baik," katanya.

Terdahulu, Abdul Ghaffar meluangkan masa membawa lima anak Monaliza ke kedai buku di sini, untuk membeli barangan keperluan sekolah, selain turut menyampaikan cenderahati daripada PTPTN.

Sementara itu di Kuantan, penyakit buah pinggang dihidapi Nurul Wahieda Abdullah, 30, memerlukan perbelanjaan besar untuk perubatan.

Suaminya, Muhamad Khairil Azaha Nasaha, 34, yang juga pekerja am sambilan berkata, masalah kesihatan Nurul Wahieda memerlukan rawatan dialisis setiap minggu dengan kos mencecah kira-kira RM3,000 sebulan hingga membebankan keluarga mereka.

"Keadaan isteri sering tidak sihat turut menjejaskan perhatian kami terhadap hal pembelajaran anak, namun saya bersyukur mereka memahami situasi dihadapi ibunya dan pandai menguruskan diri ke sekolah.

"Paling terharu apabila pihak PTPTN yang prihatin sudi menghulurkan bantuan kepada keluarga ini, terutama bantuan simpanan SSPN-i Plus kepada anak kami," katanya.

Pasangan suami isteri itu mempunyai empat cahaya mata dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

Beli barangan persekolahan

Terdahulu, keluarga ini dikunjungi Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid yang menyampaikan bantuan, termasuk pembukaan akaun SSPN-i Plus bagi tempoh lima tahun dan pembelian barangan persekolahan kepada anak mereka.

Mastura berkata, bantuan itu sebagai persediaan awal kepada anak Nurul Wahieda untuk maju dalam pendidikan, sekali gus memupuk sikap suka menabung bermula daripada peringkat awal.

"PTPTN berharap bantuan ini dapat membantu ibu bapa merancang tabung pendidikan anak, sekali gus menjadikan mereka golongan berjaya pada masa depan. Skim SSPN-i Plus yang mempunyai pelbagai keistimewaan juga diharap menjadi produk pilihan ibu bapa untuk rancangan pendidikan anak mereka," katanya.

Info: Keistimewaan SSPN-i Plus

  • Pelepasan taksiran cukai
  • Dividen kompetitif
  • Simpanan dijamin kerajaan
  • Perlindungan takaful sehingga RM1 juta
  • Cabutan WOW! SSPN-i Plus
  • Simpanan patuh syariah
  • Khairat kematian
  • Elaun kemasukan hospital
  • Tiada pemeriksaan kesihatan
  • Layak memohon pinjaman PTPTN
  • Serendah RM30 sebulan
  • Simpanan konsisten - potongan gaji/direct debit/auto debit.
Berita Harian X