Jumaat, 27 Oktober 2017 | 12:01pm
Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusof (empat dari kanan) dan bersama Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian pelajar dua sekolah yang terpilih pada program Portal Pendidikan oleh The News Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Kelas FullAMark pakej lanjutan terbaharu kepada dua sekolah perintis di Johor, ketika majlis pelancaran Portal Kelas FullAMark di Angsana Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

2 sekolah di Johor perintis Kelas FullAMark

JOHOR BAHRU: Portal pendidikan oleh The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), FullAMark hari ini melancarkan Kelas FullAMark, pakej lanjutan terbaharu kepada dua sekolah perintis di Johor.

Bagi mengukur keberkesanan pakej lanjutan baharu itu, NSTP akan melaksanakan program Sekolah Perintis FullAMark dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Dua sekolah yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat dan Maktab Sultan Abu Bakar.

Majlis penyerahan program Sekolah Perintis FullAMark kepada wakil sekolah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff, diiringi Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi di gerai NSTP sempena Karnival Jom Heboh di Angsana Mall, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata kerjasama dengan YRZSNJ amat bertepatan dengan misi syarikat untuk membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh negara.

"Kami sangat berbesar hati kerana akan bekerjasama dengan YRZSNJ bagi melaksanakan program Sekolah Perintis FullAMark sebagai satu cara meningkatkan pencapaian akademik pelajar di Johor dalam peperiksaan awam.


Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusof (tengah) bersama pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Nur Fikri Mohd Naharudin (dua dari kiri) dan rakannya, menunjukan portal Pendidikan FullAMark, ketika majlis pelancaran portal Pendidikan Kelas FullAMark, di Angsana Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusof (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Nur Fikri Mohd Naharudin (kanan) dan rakannya, selepas majlis pelancaran Portal Kelas Fullmark di Angsana Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Program kerjasama dengan YRZSNJ sangat bertepatan dengan misi keseluruhan NSTP untuk membantu kerajaan meningkatkan kualiti pembelajaran menerusi teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), terutama dalam kalangan pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mohamed Ghazali, berkata pihaknya memuji dan menyokong penuh usaha NSTP membantu pembelajaran kumpulan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Menerusi portal atas talian ini juga membolehkan suasana pembelajaran dapat diubah suai mengikut kehendak semasa, membuatkan pelajar dan guru tidak bosan selain akses yang tiada sempadan dalam pembelajaran," katanya.

Guru Penolong Kanan Maktab Sultan Abu Bakar, Hashim Andimori, berkata pihak sekolah berterima kasih kepada NSTP dan YRZSNJ memilih sekolah ini sebagai perintis untuk Kelas FullAMark.

"Ini dapat membantu pembelajaran ke arah atas talian selain boleh melahirkan pelajar  yang berfikir pada aras tinggi dan memberi rujukan tambahan bermutu tinggi untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X