Ahad, 22 Oktober 2017 | 6:24pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Teliti cadangan perbaiki pendidikan seksual

KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan bersetuju menambah baik sukatan pendidikan seksual untuk mengekang kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah seks.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata pendidikan seksual sudah diserap dalam sukatan pelajaran ketika ini menerusi pendidikan sains, agama Islam dan moral.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak mendakwa pendidikan seksual masih tidak mencukupi untuk menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak sekaligus, menjamin kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah seksual.

"Kementerian sentiasa terbuka untuk meneliti semua idea atau cadangan kerana sistem pendidikan kebangsaan perlu ada perubahan dari semasa ke semasa.

"Kita mengalu-alukan cadangan memperluaskan maklumat pendidikan seksual supaya keselamatan anak kita dalam realiti dan siber, terjamin.

"Perluasan maklumat juga untuk membolehkan anak-anak masa depan lebih memahami dan peka kepada risiko jenayah seksual," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau hadir di Seminar #Cybersafe : Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-kanak di Alam Siber.

Kamalanathan mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya sukatan pendidikan seksual ditambah baik.

Keputusan berkenaan dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak yang diadakan di Kuching, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata, kementeriannya sedia berbincang dengan agensi lain untuk membolehkan pembelajaran pendidikan seksual dimulakan daripada peringkat awal.

Bagaimanapun, katanya, pendidikan seksual tidak boleh dijadikan satu mata pelajaran khas kerana sukatannya bertindih dengan subjek lain.

"Pendidikan seksual tidak boleh terlampau terbuka kerana ia membabitkan banyak bahagian mata pelajaran lain. Kementerian kena buat penekanan dan fokus sesuai dalam silibus sedia ada," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata permintaan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak serius kerana mewakili suara dan kehendak kanak-kanak.

"Ketika sesi curahan idea Transformasi Nasional 2050 (TN50), kanak-kanak cakap mereka tidak tahu kesan atau perbuatan jenayah seksual yang dilakukan pada mereka kerana mereka tiada pengetahuan.

"Kanak-kanak naif dan mereka tidak mendapat rujukan pendidikan seksual dan jenayah seksual yang betul. Ibu bapa tidak akan bercakap pasal ini.

"Sebab itu kebanyakan kanak-kanak hari ini, mereka belajar daripada Google. Mereka boleh buat sesuka hati dan tiada siapa boleh larang mereka menggunakan Internet untuk menyelesaikan kekeliruan dan pertanyaan mengenai pendidikan seksual," katanya.

143 dibaca
Berita Harian X