Isnin, 2 Oktober 2017 | 7:59am
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong (kanan) merasmikan pembukaan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) peringkat kebangsaan 2017 di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur.- Foto Ihsan IPGKIK

4 pasukan rebut kejuaraan DeTIK 2017

KUALA LUMPUR: Empat pasukan, termasuk tuan rumah, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), mara ke final Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) peringkat kebangsaan 2017, hari ini.

Tiga lagi pasukan yang bersaing dalam sesi perdebatan menggunakan format ala Parlimen British itu adalah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) A, UNITEN B dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Perbahasan yang bermula Jumaat lalu adalah antara kegiatan  utama dalam takwim Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang disambut sepanjang Oktober.

Pertandingan berlangsung di Kampus IPGKIK, Cheras, di sini dirasmikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hari ini.

Pengarah IPGKIK,  Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata empat pasukan itu berjaya melepasi halangan di peringkat separuh akhir, petang semalam. 

Katanya, usul perdebatan yang dibahaskan pada peringkat separuh akhir adalah Aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Mampu Meningkatkan Tahap Kesedaran Hak Pengguna.

"Bagaimanapun, pasukan elit yang juga juara bertahan, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), gagal layak ke pertandingan akhir kali ini," katanya kepada BH, hari ini. 

Sebanyak 64 pasukan institusi pendidikan tinggi (IPT) menyertai DeTIK 2017, membabitkan universiti awam (UA), kolej universiti, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan IPT swasta. 

DeTIK 2017 yang dijayakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membawa tema 'Pendidikan dan Kepenggunaan'. 

Pengerusi Aktivis Debat IPG Malaysia (ADIM), Jailani Yusoff, berkata mutu perdebatan tahun ini meningkat dan persaingan semakin sengit berbanding sebelum ini. 

Berita Harian X