Sabtu, 30 September 2017 | 7:09pm
TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Dr Amin Senin (tiga kiri) mendengar penerangan cara bermain robot Marian Superball daripada murid Sekolah Kebangsaan Marian Convent, Nur Irdina Muhamad pada Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia di Aeon Mall Seri Manjung. - Foto Noor Hidayah Tanzizi.

Ibu bapa perlu bekerjasama atasi masalah sosial pelajar

SERI MANJUNG: Kerjasama ibu bapa melalui pembabitan dalam program dijalankan bersama sekolah, antara inisiatif bagi membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan pelajar. 

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr Amin Senin, berkata masalah sosial pelajar dapat dikurangkan melalui penyertaan aktif ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah. 

Beliau berkata, sukar untuk menentukan garis pemisah pendidikan di antara sekolah dan rumah apabila membabitkan masalah berkaitan pelajar. 

"Biarpun insiden berlaku di rumah, tempiasnya juga terkena pada sekolah. Sebab itu kementerian menekankan pembabitan pihak sekolah dengan ibu bapa melalui PIBG/

"Ia supaya semua dapat bersama memainkan peranan atasi masalah pelajar. Kita galakkan pembabitan komuniti dan ibu bapa dalam program di sekolah supaya masalah pelajar boleh dikurangkan,"" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan di Aeon Mall Seri Manjung, di sini hari ini. 

Amin mengulas kes seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang memukul ibunya seperti klip video yang viral di laman sosial, beberapa hari lalu. 

Katanya, beliau difahamkan kes berkenaan sudah selesai selepas pelajar itu meminta maaf kepada ibunya yang turut tidak mahu memanjangkan isu terbabit. 

"Peranan ibu bapa penting dalam mendidik anak dan tidak seharusnya menuding jari kepada sesiapa apabila berlaku kejadian tidak diingini," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Manjung adalah lokasi ke-10 program Jelajah Pendidikan daripada 12 lokasi di seluruh negara yang dijangka berakhir November ini. 

Katanya, berteraskan slogan `Menerajui Perubahan', program itu bertujuan menyebarkan kepada masyarakat mengenai kejayaan kementerian dalam membangunkan pelajar.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa selama dua jam dalam sesi dialog bersama guru, wakil PIBG dan pemimpin setempat di Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut.

89 dibaca
Berita Harian X